Cavani wira PSG, Monaco belasah Metz

Cavani wira PSG, Monaco belasah Metz

PARIS, 2 Okt – Sentuhan penyudah Edinson Cavani berada pada tahap terbaik apabila jaringan bergandanya membantu Paris Saint-Germain (PSG) mengatasi Bordeaux 2-0 sementara Monaco membelasah Metz 7-0 untuk kembali ke persada Ligue 1, awal pagi tadi.

Cavani yang dikritik hebat, menyumbat kedua-dua gol di separuh masa pertama di Parc des Princes tatkala PSG membawa rentak kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Ludogorets di Bulgaria ke saingan domestik.

Skuad kendalian Unai Emery itu hadir ke perlawanan minggu ini di kedudukan keempat Ligue 1 selepas tumpas di Toulouse sebelum ini, kekalahan kedua daripada tujuh perlawanan musim ini.

Aksi Cavani ketika meraikan jaringan semasa perlawanan bola sepak menentang Bordeaux di Stadium Parc des Princes di Paris pada 1 Oktober, 2016. – AFP
Aksi Cavani ketika meraikan jaringan semasa perlawanan bola sepak menentang Bordeaux di Stadium Parc des Princes di Paris pada 1 Oktober, 2016. – AFP

“Ia mungkin antara perlawanan terbaik kami musim ini, di babak kedua kami berpeluang menambah gol ketiga untuk menyenangkan kerja kami dan meningkatkan keyakinan pasukan,” kata Emery yang menyambut kepulangan Ultras selepas digantung enam tahun. “Suasana perlawanan sangat bagus.

Ia lebih positif buat pasukan dan ia menunjukkan kami berasa sangat istimewa beraksi di Parc des Princes.”

Cavani kini memikul tanggungjawab lebih besar sejak pemergian Zlatan Ibrahimovic, tetapi dia dikecam teruk gara-gara prestasi hambarnya ketika terikat dalam aksi Liga Juara-Juara dengan Arsenal, bulan lalu walaupun dia menghasilkan gol pembukaan pada malam terbabit. – AFP