Cawangan A juara Badminton PDB

Cawangan A juara Badminton PDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Cawangan A dari gabungan jabatan-jabatan dan formasi Pasukan Polis Diraja Brunei di seluruh negara muncul juara dalam Peringkat Akhir Kejohanan Badminton Inter-Cawangan 2016 selepas menewaskan Cawangan E dengan kiraan 4-1 sebagai naib juara di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan Penguasa Kanan Polis (Senior Superintendent of Police) Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, .

Jabatan-jabatan dan formasi di bawah Cawangan A terdiri daripada Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Perisikan Jenayah dan Jabatan Logistik. Manakala Cawangan E pula terdiri dari Daerah Polis Belait dan Daerah Polis Tutong.

Gambar ramai pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.
Gambar ramai pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.

Sementara itu, Cawangan C yang terdiri daripada gabungan Daerah Polis Temburong, Polis Kawalan Diraja, Polis Marin dan Pasukan Simpanan Kompeni ‘C’ pula terpaksa akur berada di tempat ketiga. Sebanyak lima buah cawangan yang terdiri dari gabungan jabatan-jabatan dan formasi polis di seluruh negara menyertai kejohanan tersebut, di mana kejohanan itu mempertandingkan tujuh kategori dalam berkumpulan iaitu Bergu Khas Pegawai, Perseorangan Lelaki, Bergu Wanita, Bergu Veteran, Perseorangan Wanita, Bergu Lelaki dan Bergu Campuran. Kejohanan anjuran Majlis Sukan Polis Diraja Brunei yang bermula sejak 1 Oktober 2016 yang lalu itu antara lain bertujuan untuk menggalakkan para warganya untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan sukan.

Di samping itu, ia diharap dapat memupuk perpaduan, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei demi pembangunan dan kemajuan sukan.