Cawangan B juara keseluruhan sukan polis

Cawangan B juara keseluruhan sukan polis

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Cawangan B muncul juara bagi memenangi Piala Pusingan dan Piala Iringan Johan Keseluruhan Olahraga dalam Kejohanan Sukan Olahraga antara Cawangan-cawangan Polis Diraja Brunei ke-30 pada hari terakhir kejohanan tersebut yang diadakan di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong hari ini.

Tampil di tempat kedua ialah Cawangan A sementara akur di tempat ketiga ialah Cawangan D, Cawangan A juga pulang bersama Piala Pusingan dan Piala Iringan bagi Perbarisan diikuti oleh Cawangan B di tempat kedua.

Hadir bagi menyampaikan pingat dan menyempurnakan penutup kejohanan tersebut ialah Pesuruhjaya Polia, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.

Pada kejohanan tersebut, Cawangan B berjaya memungut 11 emas, enam perak dan 21 Gangsa sementara pesaing dekatnya Cawangan A lapan emas, tujuh perak dan 23 gangsa, sementara Cawangan D pula berjaya meraih tiga emas, enam perak dan 12 gangsa.

Pada hari terakhir ini, lima acara berlangsung antaranya 100m Persatuan Isteri-isteri dan Anak-anak Polis Diraja Brunei (PEKERTI) yang dimenangi oleh Cawangan A yang diwakili W/PC 5747 Nurul Nazleanan diekori rapat peserta Cawangan D W/PC 5844 Nurul Rasidah dan di tempat ketiga W/PC 5726 Nurul Atiwah Haji Abas mewakili Cawangan D.

Antara acara yang dipertandingkan hari ini.
Antara acara yang dipertandingkan hari ini.

Dalam acara 100m pegawai cawangan wanita pula dimenangi oleh peserta Cawangan A, P/ASP Haryati yang berjaya mengalahkan INSP Azmina (Cawangan D) dan INSP Nor Suraya (Cawangan E) yang berada di tempat kedua dan ketiga.

SUPT Mazalan mewakili Cawangan D pula unggul dalam 100m bagi Pegawai Khas Lelaki dengan menewaskan pesaing rapatnya SUPT Sulaiman bin Alidin daripada Cawangan C yang berada di tempat kedua dan DSP Haji Mohd Khairul Amilin bin Haji Idris daripada Cawangan A di tempat ketiga.

Satu acara yang mendapat perhatian penonton hari ini ialah acara 4x100m yang dimenangi oleh Cawangan A diikuti oleh Cawangan D dan Cawangan B yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Sorakan bertambah gemuruh di stadium berkenaan hari ini apabila kedua-dua kumpulan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei A dan B berjaya meraih tempat pertama dan kedua menewaskan peserta jemputan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang terpaksa akur di tempat ketiga.

Kejohanan kali ini mempertandingkan 14 acara sukan antaranya lompat jauh terbuka, lontar peluru terbuka, rejam lembing terbuka, 400m lari berpagar terbuka, 1,500m wanita terbuka, 100m lelaki dan wanita terbuka, 400m lelaki dan wanita terbuka, 5,000m lelaki jemputan, lontar cakera, 200m lelaki dan wanita, 4x400m lelaki dan wanita terbuka, 800m lelaki dan wanita dan 110m lari berpagar lelaki terbuka.

Pada sebelah pagi pula berlangsung beberapa acara termasuk acara lempar cakera wanita terbuka, 1500m wanita terbuka, 1500m lelaki terbuka, lempar cakera lelaki terbuka, 400m lelaki terbuka, 400m wanita terbuka, 400m lelaki veteran, 4x100m wanita terbuka dan 4x100m lelaki terbuka.