Cawangan baru TelBru di Petani Mall

Cawangan baru TelBru di Petani Mall

Oleh Rafidah Jumat

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

TUTONG, 8 Mei – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah membuka satu lagi cawangan di Kompleks Membeli-belah Petani Mall di sini, hari ini, sebagai salah satu usaha syarikat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan pelanggannya di daerah ini.

Pembukaannya dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf.

Cawangan Petani Mall adalah cawangan kelima TelBru yang ditempatkan di kawasan komersial, yang mana cawangan lain terletak di Citis Square, The Mall dan Tanjung Bunut di Daerah Brunei dan Muara manakala bagi Seria pula, ia terletak di bangunan Supasave.

Cawangan baru ini mempunyai seramai 14 kakitangan yang bertugas dua syif dan menawarkan perkhidmatan daripada pembayaran bil sehingga ke pertanyaan umum mengenai bil, produk dan perkhidmatan termasuk permohonan perkhidmatan baru.

Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay dalam ucapan alu-aluannya berkata, cawangan baru itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan TelBru untuk menyediakan kemudahan kepada para pelanggannya terutama mereka yang tinggal di daerah ini.

Sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat sempena perasmian cawangan TelBru di Petani Mall.
Sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat sempena perasmian cawangan TelBru di Petani Mall.
Majlis perasmian cawangan kelima TelBru di Petani Mall disempurnakan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha.
Majlis perasmian cawangan kelima TelBru di Petani Mall disempurnakan oleh Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha.
Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha diberikan penerangan mengenai operasi harian di cawangan TelBru di Petani Mall.
Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha diberikan penerangan mengenai operasi harian di cawangan TelBru di Petani Mall.

“Pelanggan kini boleh membayar bil-bil mereka atau memohon perkhidmatan dan produk TelBru di cawangan baru ini walaupun selepas kerja atau pada waktu malam kerana waktu operasi telah dilanjutkan daripada 8:30 pagi hingga 9 malam, tujuh hari seminggu,” katanya.

Tambahnya, pelanggan juga boleh membeli kad prabayar TelBru, barangan dan juga aksesori komputer daripada penjual komputer tempatan iaitu Concepts Computer yang telah menubuhkan kaunter di dalam cawangan tersebut.

Selain itu, ujarnya, klinik jalur lebar juga ditubuhkan untuk membantu para pelanggan dengan konfigurasi modem TelBru dan router termasuk untuk menangani apa jua masalah teknikal yang lain.

Pejabat sedia ada TelBru di daerah ini yang kini dalam proses menjalani pengubahsuaian hanya akan menempatkan syarikat perkhidmatan teknikal dan operasi.

ARTIKEL YANG SAMA