CBF sokong pencalonan Zico

CBF sokong pencalonan Zico

RIO DE JANEIRO, 31 Julai (AFP) – Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) semalam menyokong usaha legenda bola sepak negara Zico untuk menggantikan Sepp Blatter sebagai presiden FIFA.

Sokongan itu merupakan rangsangan besar untuk Zico, 62, yang sebelum ini mengakui kekurangan sokongan daripada bola sepak Brazil. Bagaimanapun, untuk meletakkan diri sebagai calon rasmi, beliau masih perlu mendapatkan sokongan daripada empat negara lain.

“Zico memiliki sokongan kami untuk meneruskan pencalonannya. Jika dia mendapat empat tandatangan lagi, CBF akan menyokong permohonannya,” kata Presiden CBF Marco Polo Del Nero dalam satu kenyataan.

Zico – yang telah menguruskan beberapa pasukan termasuk Jepun dan Iraq serta pasukan kelab baru India, Goa – tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran bola sepak antarabangsa.

Beliau gembira dengan sambutan yang disifatkannya sebagai titik tolak kepada usahanya untuk memenangi tempat teratas FIFA. Blatter mengumumkan niatnya untuk berundur pada 2 Jun, tidak lama selepas memenangi pilihan raya untuk penggal kelima, di tengah-tengah skandal rasuah yang melanda jawatankuasa eksekutif FIFA. Brazil merupakan salah satu daripada negara yang mengundi Blatter untuk melanjutkan mandat beliau.

Blatter minggu lalu mengumumkan pilihan raya kecil untuk mencari penggantinya akan diadakan pada 26 Februari 2016.

Ketua UEFA dan calon pilihan Perancis Michel Platini – yang berentap dengan Zico di atas padang pada 1980-an termasuk separuh akhir Piala Dunia 1986 yang sukar dilupakan – dilihat sebagai calon kegemaran.

ARTIKEL YANG SAMA