CBTL sertai penaja Spectacle 2016 UBD

CBTL sertai penaja Spectacle 2016 UBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – The Coffee Bean and Tea Leaf (CBTL) Brunei telah menyertai senarai penaja untuk pameran Spectacle 2016 Universiti Brunei Darussalam dengan menghulurkan 20 kupon bernilai $5 setiap satu.

Majlis penyerahan tajaan berkenaan telah diadakan di CBTL, Centrepoint Gadong yang disampaikan oleh Ida Patera dan Jonathan Bong dari Bahagian Pemasaran kepada Penyelaras Spectacle 2016, Dayang Noor Faezatul Iradah Mohd Ali dan dua wakil daripada pasukan tajaan, Dayang Fatin Safwanah binti Zalidin dan Dayangku Amal Rasyidah binti Pengiran Othman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dua bulan sebelum bermulanya hari pembukaan UBD Spectacle 2016, pelajar kini sedang berusaha keras dalam membuat persediaan pameran masing-masing.

Bermula dengan penghasilan karya seni dan rekaan tersendiri, penyediaan segala poster dan kad perniagaan, hingga pembinaan panel dan dinding untuk pameran mereka sendiri, pelajar-pelajar UBD Spectacle 2016 mencurahkan usaha meraka dengan bersungguh-sungguh bagi menjayakan acara ini.

(Dari kiri-kanan) Dayang Fatin Safwanah, Jonathan Bong, Ida Patera, Dayang Noor Faezatul Iradah dan Dayangku Amal Rasyidah.
(Dari kiri-kanan) Dayang Fatin Safwanah, Jonathan Bong, Ida Patera, Dayang Noor Faezatul Iradah dan Dayangku Amal Rasyidah.

Daripada pengalaman ini nanti, menurut kenyataan itu lagi, para pelajar bukan sahaja belajar tentang kaedah dan pertukangan, malah mereka turut meningkatkan kemahiran dalam penghasilan seni dan reka bentuk dan terutama sekali belajar untuk bekerja antara satu sama lain.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke pameran itu nanti yang akan diadakan pada 13 April hingga 21 Mei bermula 2 petang di galeri dalam bangunan Dewan Canselor UBD. Waktu pembukaan adalah setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu pada jam 9 pagi hingga 7 malam.

Kupon daripada CBTL akan turut diagihkan kepada pemenang yang bertuah, oleh itu ikuti maklumat terkini melalui laman sosial Facebook UBD Spectacle 2016 dan Instagram @Ubdspectacle2016. Maklumat tentang pelajar yang berkaitan dan sebahagian daripada pameran yang akan datang turut disiarkan sedikit sebanyak melalui laman sosial.

ARTIKEL YANG SAMA