CDC kini beroperasi di RIPAS

CDC kini beroperasi di RIPAS

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) kini telah disatukan dan dipindahkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sebagai usaha Kementerian Kesihatan untuk memberikan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang lebih baik melalui kumpulan sumber yang diperlukan.

Setelah diintegrasikan dengan Hospital RIPAS, perkhidmatan CDC akan dikenali sebagai Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik dan akan beroperasi sepenuhnya bermula 1 Jun ini.

Media Permata telah berpeluang untuk membuat tinjauan ke Hospital RIPAS dan menemubual beberapa ahli profesional kesihatan mengenai dengan pemindahan CDC tersebut, perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya.

Pegawai Kanan Perkhidmatan Jurupulih Cara Kerja (Occupational Therapy), Sara’ Nowwarah Abdullah Chen semasa ditemui melahirkan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan pemindahan ini kerana tenaga-tenaga kerja yang sangat mencukupi dan suasana yang begitu selesa dan ruang yang lebih besar.

Ruang selesa dan luas yang disediakan di Bahagian Perkhidmatan Fisioterapi.
Ruang selesa dan luas yang disediakan di Bahagian Perkhidmatan Fisioterapi.
Kakitangan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan semasa mengendalikan sesi bersama pesakit.
Kakitangan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan semasa mengendalikan sesi bersama pesakit.

Perkhidmatan Jurupulih Cara Kerja (Occupational Therapy) kini berada di Tingkat Bawah, Blok 8, Hospital RIPAS.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Percakapan, Agnes Chong pula menjelaskan bahawa tempat baru itu telah menyediakan tiga bilik terapi iaitu sebuah bilik terapi untuk orang dewasa dan buah bilik terapi bagi pesakit pediatrik atau kanak-kanak.

“Tempat ini juga begitu sesuai untuk mengadakan sesi berkumpulan bagi kanak-kanak dan dapat menampung lima orang kanak-kanak dalam sebuah sesi.

“Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan ini menawarkan empat jenis perkhidmatan iaitu Pertuturan, Percakapan, Suara serta Penelanan dan Pemakanan,” ujarnya.

Manakala menurut seorang lagi Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Percakapan, Norlenawati binti Haji Mohd Yusuf, Unit Pendidikan Khas juga mempunyai Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan.

Katanya, ini adalah bagi memudahkan lagi pegawai-pegawai Pemulihan Pertuturan dan Percakapan untuk mengendalikan para pesakit yang telah bersekolah di dalam sektor kerajaan yang mana para pesakit ini akan dipantau oleh Unit Pendidikan Khas bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

Menurut Agnes Chong lagi, perkhidmatan berkenan merancang untuk memperbaiki lagi tempoh menunggu bagi para pesakit agar mereka dapat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Perkhidmatan ini juga turut mengajar para ibu bapa untuk mengendalikan terapi pertuturan dan percakapan di rumah selama tiga bulan bersama anak mereka dan setakat ini, ia membantu memperkembangkan pemulihan para pesakit dan membantu mengurangkan tempoh menunggu.

Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan dan Percakapan kini ditempatkan di Tingkat 3, Blok Pakar 1, Hospital RIPAS.

Pegawai Psikologi Klinikal, Pengiran Hartini binti Pengiran Haji Tahir juga melahirkan gembira di penempatan CDC baru ini.

Beliau menjelaskan, antara perkhidmatan yang diadakan ialah seperti membuat penilaian psikologi, penilaian kelakuan dan banyak lagi.

“Pemindahan ini amat sesuai dan ianya membantu mengurangkan masa menunggu para pesakit kerana ahli psikologi yang sudah ada akan dapat menghulurkan bantuan jika diperlukan. Sebelum ini tempoh menunggu mencecah lapan bulan dan beliau merancang untuk mengurangkan tempoh ini sehingga dua bulan sahaja.”

Menurut beliau lagi, setakat ini, seramai empat orang ahli berkelayakan Psikologi Klinikal, seorang berkelayakan Terapi Keluarga dan kira-kira 18 orang kakitangan dalam latihan yang dapat membantu memberikan perkhidmatan ini dengan lebih lancar lagi.

Perkhidmatan Psikologi Klinikal telah ditempatkan di Tingkat 3, Blok 11 dan di Tingkat 3, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS.

Sementara itu, salah seorang ahli fisioterapi dari Perkhidmatan Fisioterapi, Hajah Zarinah binti Haji Zahari juga berpuas hati dengan penempatan tempat baru mereka kerana ruang yang besar untuk mengendalikan sesi fisioterapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Perkhidmatan utama yang disediakan ialah pemeriksaan fungsi fizikal dan program rawatan yang disesuaikan untuk pesakit termasuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar, terapi secara hands-on, senaman terapeutik, kaedah rawatan menggunakan eletrofizikal dan pinjaman peralatan alat bantu. Perkhidmatan Fisioterapi telah ditempatkan di Blok 8, Hospital RIPAS.

Dengan penyatuan ini, semakin mudahlah penjagaan kanak-kanak untuk diselaraskan dalam persekitaran yang kondusif serta akses kepada semua perkhidmatan yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA