CDM prabayar elektrik kini di Tutong

CDM prabayar elektrik kini di Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Sept – DSTIncomm hari ini merasmikan sebuah lagi Mesin Deposit Tunai (CDM) bagi Token Prabayar Elektrik, di cawangannya di sini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai membeli token prabayar meter elektrik, Powerkad pada bila-bila masa.

Mesin CDM yang terletak di cawangan DST, Central Mall, Tutong itu adalah mesin kedua dilancarkan selepas pelancaran mesin pertama pada awal September lalu di Tanjong Bunut.

Perasmian mesin itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Pengiran Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Suhaimi bin Haji Hussain, para pegawai kanan DST, pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan orang ramai.

Mesin CDM yang disediakan dari DSTIncomm merupakan mesin prabayar elektrik token Powerkad secara eksklusif, yang beroperasi selama 24 jam dengan menyediakan token elektrik prabayar dari $1 ke $400 bagi kemudahan pelanggan-pelanggan membeli prabayar meter elektrik.

Pegawai Kewangan dari JPE, Haji Sabtu bin Haji Shahminan yang memantau kesemua pembelian token prabayar dari seluruh negara berkata, menerusi mesin CDM itu, orang ramai dapat membeli token-token elektrik prabayar secara lebih mudah tanpa perlu berbaris di kaunter-kaunter di JPE.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrikmerasmikan CDM Prabayar Token Elektrik di Central Mall, Daerah Tutong.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrikmerasmikan CDM Prabayar Token Elektrik di Central Mall, Daerah Tutong.

Menurut beliau, sebelum ini JPE mempunyai dua buah mesin CDM elektrik token di ibu pejabatnya di Jalan Airport Lama dan di cawangan JPE di Seria. Setelah bekerjasama dengan DSTIncomm, dua lagi mesin CDM telah disediakan untuk orang ramai dan penduduk sekitarnya di Tanjong Bunut dan Daerah Tutong.

“Mesin CDM yang disediakan itu beroperasi selama 24 jam dan ianya amat mudah digunakan. Pelanggan hanya perlu mengingati nombor meter prabayar dan masukkan nombor telefon pelanggan dalam mesin CDM.

CDM tersebut mempunyai pautan dengan sistem JPE yang akan mengeluarkan nombor token 20 digit untuk dimasukkan ke dalam meter prabayar mereka.

“Jika tidak ada resit disertakan, nombor digit token tersebut juga diberikan melalui pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui DSTIncomm untuk backup sekiranya CDM tidak mengeluarkan resit berkenaan.

“Berdasarkan respons daripada pelanggan sebelum ini, ia menunjukkan operasi yang berjaya dan selamat digunakan kerana pelanggan telah menerima resit dan nombor token elektrik meter melalui SMS,” jelas Haji Sabtu lagi.

Selain menggunakan CDM, pembelian Powerkad bolehlah dibuat melalui beberapa cawangan DSTIncomm atau SMS ke talian 8885555 untuk pembelian prabayar token elektrik berjumlah $5, $6, $10 dan $20 bagi pengguna DST Easi atau layari ke laman web www.incomm.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA