CDPF wujudkan platform kerjasama

CDPF wujudkan platform kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Forum Ketidakupayaan China-ASEAN yang julung-julung kalinya diadakan telah berlangsung di Hotel Nanning, kelmarin dan hari ini, sebagai sebahagian daripada forum rasmi Ekspo China-ASEAN ke-12 di Guangxi,China.

Dijemput menghadiri forum berkenaan dari Brunei ialah Naib Presiden 1 Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Dayang Nur Judy binti Abdullah dan ahli MKM, Hajah Salmah binti Mohd Noor atas tajaan penuh Persekutuan Orang Kurang Upaya China (CDPF).

Menurut kenyataan MKM, di sini, hari ini, forum anjuran CDPF dan Kerajaan Rakyat Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang yang dihadiri oleh 200 peserta kerajaan dan bukan kerajaan dari China dan negara-negara anggota ASEAN itu membawa tema ‘Akses Saksama dan Pembangunan Inklusif’.

Ia diadakan sebagai usaha untuk mewujudkan platform pertukaran peringkat tinggi dalam bidang ketidakupayaan di antara China dan ASEAN, di samping untuk menggalakkan kerjasama dan pertukaran dalam pemulihan, pendidikan, pekerjaan, perlindungan sosial dan bidang-bidang ketidakupayaan lain yang berkaitan.

Dayang Nur Judy, dalam kenyataan itu, dipetik sebagai berkata MKM telah membantu beberapa klien kurang upaya dari peruntukan kerusi roda, katil-katil hospital dan tilam khas bagi membantu keperluan kebajikan mereka.

Gambar ramai ahli jawatankuasa Forum Ketidakupayaan China-ASEAN bersama ketua-ketua delegasi yang terdiri daripada organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.
Gambar ramai ahli jawatankuasa Forum Ketidakupayaan China-ASEAN bersama ketua-ketua delegasi yang terdiri daripada organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Begitu juga Klinik Legal MKM kami yang menerima klien-klien kurang upaya yang meminta nasihat dan bantuan legal. Forum Ketidakupayaan China-ASEAN telah memberikan kami gambaran mengenai bagaimana China dan negara-negara anggota ASEAN membantu mempromosikan hak asasi orang-orang kurang upaya.”

Menurutnya lagi, pameran mengenai peranti-peranti bantuan yang dibangunkan oleh China padat dengan gajet-gajet menarik yang membolehkan seseorang yang mempunyai pelbagai jenis ketidakupayaan dalam kumpulan usia yang berbeza untuk meningkatkan keupayaan pertuturan, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka.

“Kami mempunyai klien-klien yang kurang upaya fizikal yang tinggal bersendirian dengan tiada penjaga dan peranti-peranti bantuan berkenaan akan menjadi aset bagi mereka,” tambah beliau. Menurut kenyataan itu lagi, terdapat anggaran 650 juta orang kurang upaya (OKU) di rantau Asia Pasifik di mana 85 juta daripadanya di China menjadikannya yang terbesar di dunia.

Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China, Yang Xiuping dalam ucapannya semasa forum itu menyeru bagi pengukuhan pertukaran mengenai persamaan dan cabaran dalam kalangan pergerakan ketidakupayaan yang akan menyumbang kepada keamanan dan pembangunan rantau China-ASEAN.

Dengan 85 juta OKU di China dan 60 juta di ASEAN, lebih banyak kerjasama boleh dilaksanakan dalam bidang penyelidikan, lawatan, pendidikan, ICT, teknologi-teknologi terkini mengenai peranti-peranti bantuan, pengesanan dan penyaringan awal penyakit bagi akses saksama dan penglibatan OKU serta melibatkan mereka untuk menunjukkan keupayaan penuh mereka. Turut hadir semasa forum itu adalah menteri-menteri dan timbalan menteri kebajikan sosial dan pembangunan dari negara-negara anggota ASEAN, para pegawai forum serta dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA