CEAB dirasmikan tingkat usaha sama China, Brunei

CEAB dirasmikan tingkat usaha sama China, Brunei

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Bagi menggalakkan kerjasama perniagaan antara Republik Rakyat China dengan Negara Brunei Darussalam, Persatuan Perusahaan-Perusahaan China di Brunei (CEAB) telah ditubuhkan dengan majlis perasmiannya diadakan hari ini di Songket Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian; Presiden CEAB yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai; Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China, Ang Swee Chuan; para perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam, serta para jemputan lain.

Antara lain tujuan persatuan berkenaan ditubuhkan adalah bagi mempromosikan kepentingan perusahaan China di Brunei, di samping menggalakkan pelaburan dan usaha sama dengan perusahaan Brunei di Brunei Darussalam dan/atau di negara-negara lain.

Chen Lian Cai berkata bahawa keahlian CEAB dibukakan kepada perusahaan-perusahaan di China yang mahu berniaga di Brunei dan juga perniagaan Brunei yang berminat di China (sebagai ahli bersekutu).

Majlis dirasmikan dengan potongan ribon oleh Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Yang Jian dan juga Chen Lian Cai.
Majlis dirasmikan dengan potongan ribon oleh Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Yang Jian dan juga Chen Lian Cai.

“Hari ini ia adalah himpunan 27 perusahaan China atau usaha sama yang berdaftar di Brunei. Kami komited untuk memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara dalam pelbagai sektor industri iaitu minyak dan gas, pembinaan, teknologi tinggi, telekomunikasi, perkhidmatan kesihatan, perikanan dan projek logistik,” ujarnya lagi ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Menurut beliau lagi, dalam dekad kebelakangan, China telah menjadi pengeksport modal utama, melabur dalam pelbagai projek sumber-sumber semula jadi dan infrastruktur di negara-negara ASEAN.

Ini, jelasnya, adalah sejajar dengan galakan kerajaan China menerusi strategi ‘go-abroad’, serta inisiatif untuk mewujudkan ‘Laluan Sutera Maritim’, di mana perusahaan China digalakkan untuk meneroka ke luar negara dan mewujudkan situasi menang-menang untuk perusahaan China dan juga tuan rumah dengan peluang-peluang pekerjaan dan industri ‘spin-off’.

“Yakinlah bahawa CEAB akan terus mematuhi dan menegakkan Undang-undang dan Peraturan Brunei dalam menjalankan perniagaan di dalam negara, serta menyumbang kepada pekerjaan tempatan,” tegasnya lagi.

Walau terdapat perbezaan daripada segi proseder dan budaya, Chen Lian Cai berkata, kerajaan Brunei, komuniti perniagaan tempatan dan juga CEAB bersama-sama boleh menyumbang ke arah mendorong kepelbagaian ekonomi Brunei dan mempromosikan pemindahan pengetahuan, pekerjaan dan aktiviti perdagangan.