Cebisan memori semalam

Cebisan memori semalam

Oleh WanFaiq

 

“SELAMAT pagi, Man,” sapa Sara kepada Arman. Arman kelihatan tenang. Badannya terbaring di atas katil. Matanya memandang tepat ke atas siling.

Di atas meja sebelahnya bertebar haruman bunga Mawar yang selalu dibawa dan ditukar oleh Sara pada setiap minggu apabila menjenguk Arman di hospital.

“Kau nampak sihat. Pagi ni kita ambil angin kat luar ya?” kata Sara tersenyum sambil memandang Arman. Arman hanya diam membisu. “Mama. Mama, nak bawa Pak Cik Man jalan-jalan kat taman ke?” tanya Aliya beriya. “Liya nak ikut? tanya Sara pula pada Aliya yang kelihatan begitu teruja.

Aliya mengangguk-angguk. Gembira mahu mengikut ibunya membawa Arman berjalan-jalan ke taman. Aliya yang baru berusia enam tahun merupakan anak tunggal Sara. Bertubuh kecil dan comel seperti ibunya. Aliya selalu mengikut Sara menjenguk Arman di hospital. “Pak Cik Man dah mandi?” tanya Aliya sambil mencuit hidung Arman. Arman hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab pertanyaan anak kecil itu. “Pak Cik Man dah mandilah. Cuba Liya cium Pak Cik Man,” kata Sara. Tersenyum melihat gelagat Aliya yang sememangnya rapat dengan Arman. “Hurm, wangi! Pak Cik Man dah mandilah,” ujar Aliya selepas mencium bau rambut Arman. Sara hanya ketawa kecil.

Arman diangkat ke kerusi roda seperti selalu. Jururawat-jururawat yang bertugas mudah mengangkat Arman kerana tidak terlalu berat. Arman kelihatan kurus dan kurang berotot. Berkulit cerah dan berambut jarang. Arman hanya berdiam apabila diangkat. Dia tidak memberi sebarang reaksi seperti merelakan dirinya diletakkan pada kerusi roda. Matanya tidak sedikit berkelip dan hanya memandang ke hadapan. “Cuaca baik hari ni kan, Man?,” kata Sara sambil menolak kerusi roda yang membawa Arman bersiar-siar di taman. Sara berhenti di hadapan tasik yang berada di tengah-tengah taman itu.

Kicauan burung yang nyaring. Angin pagi bertiup sepoi-sepoi bahasa berlalu menyentuh lembut ke muka jernih Sara. Sara pejamkan mata mengamati suasana di taman pada pagi itu. Sara menghadapkan kerusi roda Arman ke tasik lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi batu yang berada di situ. “Mama, Liya nak main kat situ,” kata Liya bersemangat sambil menunjukkan tempat permainan kanak-kanak yang tidak jauh dari situ. “Pergilah. Baik-baik main tu,” pesan Sara pada Aliya. “Baik mama,” jawab Aliya dan terus berlalu ke tempat permainan. “Cantik tasik ni, kan?” kata Sara kepada Arman memulakan perbicaraan di situ.

Arman hanya mendiamkan diri. Matanya tepat memandang ke tasik. Kepalanya senget sedikit ke kanan. “Ingat tak Man, waktu dulu kita selalu berdua macam sekarang ni, di tasik berhampiran rumah kita. Balik dari sekolah kita mesti ke sana, kan?” kata Sara yang cuba mengimbau kembali kenangan waktu persekolahan bersama-sama Arman.

Arman tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hanya terdengar kicauan burung yang mengiringi setiap bait kata Sara kepada Arman. “Ada suatu ketika aku dikacau oleh Razi dan kawan-kawannya. Kau cergas membela aku,” kata Sara sambil tersenyum. Terkenang dia akan kisah sewaktu dulu.

Pada waktu itu, Sara menunggu Arman di tepi tasik yang menjadi tempat kebiasaan mereka berjumpa selepas waktu persekolahan. Tiba-tiba Razi dan rakan-rakannya yang merupakan pelajar satu sekolah datang mengusik Sara yang keseorangan. Arman yang sudah berada di situ terus menuju kepada mereka. “Kau jangan kacau dia,” tegas Arman yang kelihatan marah. “Releksla bro. Awek seorang, kita kongsi ramai-ramai,” kata Razi sambil ketawa bersama rakan-rakannya.

Sara kelihatan ketakutan. Arman berada di hadapannya melindung Sara daripada diganggu oleh Razi dan konco-konconya. Razi dikenali sebagai samseng yang selalu membuat kacau di kawasan tersebut. Dia sudah lama minat kepada Sara tetapi Sara tidak menyukainya. Sara sememangnya menjadi rebutan kerana kecantikkannya. “Kau memang kurang ajar!” tegas Arman yang tidak berpuas hati dengan kata-kata Razi.

Razi cuba menumbuk Arman. Namun, Arman tangkas mengelak dan terus membalas tumbukan tepat ke arah muka Razi. Razi tersadung ke belakang. Arman seorang yang cekap dalam seni pertahankan diri kerana dia merupakan seorang pesilat yang hebat. Badannya yang agak tegap memberi kelebihan kepadanya. “Pukul si bedebah ni!” jerit Razi menyuruh konco-konconya membelasah Arman. Dia mengelap darah pada bibirnya yang sudah pecah akibat terkena tumbukan Arman.

Arman cekal menahan dan menepis setiap asakan daripada samseng-samseng itu. Sara hanya menjerit ketakutan melihat keadaan tersebut. Walaupun Arman handal bersilat tetapi tidak dapat juga menahan asakan demi asakan daripada lima orang tenaga lelaki. Razi memukul kepala Arman dengan kayu dan terus berlalu dari situ kerana takut melihat kepala Arman yang sudah berdarah. Arman hanya terbaring kaku. “Man. Sabar, Man,” kata Sara sambil menitiskan air mata. Sedih melihat Arman yang sudah cedera parah kerana mempertahankan dirinya.

Lamunan Sara tersentap. Cahaya matahari pagi menyilau sedikit pandanganya ke arah tasik. Sara memandang sejenak wajah Arman yang kelihatan sendu dan kaku,” nasib baik kau selamat masa itu. Ada orang yang bawa kau ke klinik. Tak pasal-pasal dapat lima jahitan,” kata Sara dengan sedikit gelak kecil. Riang terpancar di wajahnya mengenangkan kisah lalu bersama Arman. Suasana sedikit redup. Awan bertebaran menutup pancaran matahari ke bumi. Angin yang bertiup lembut mendamaikan suasana yang mangimbau kisah dahulu.

Kini, Sara sudah banyak berubah. Dia banyak dibimbing oleh ustazah sewaktu berada di pusat pemulihan selama empat tahun di sana. Dia sudah meninggalkan perkara yang buruk pernah dilakukan dahulu. Sara mendekatkan diri dengan ajaran-ajaran agama Islam. Tidak lupa solat dan sentiasa membaca kalimah suci Al-Quran. “Aku dah berubah, Man. Aku bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berubah,” kata Sara dengan sayu. Sekali lagi air matanya berlinangan. Betapa Sara bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berubah menjadi wanita yang solehah. Dia memandang Man yang hanya kaku di kerusi roda. Sayu hatinya melihat Man yang tidak berupaya melakukan sesuatu. “Apakah ini balasan dari-Nya kepada kita, Man?” detik hati Sara.

Suasana yang redup. Angin yang bertiup halus seakan memahami perasaan yang bermain di jiwa dua insan yang mempunyai memori bersama dan masih lagi bersua dengan kesempatan yang diberikan. “Kita sudah banyak membuat salah, Man. Banyak perkara yang aku belajar daripada kesilapan yang lalu,” ujar Sara dengan nada yang agak perlahan. Air matanya masih mengalir seakan tidak mahu berhenti membasahi pipinya.

Arman yang masih memandang tasik hanya kaku. Semestinya dia mendengar. Semestinya dia faham. Sekiranya dia mampu, sudah lama dia meratapi kisah silam ini bersama Sara. Namun, Arman tidak berdaya. Dia seorang lelaki yang lumpuh di kerusi roda dan hanya mampu mendengar. Sara memandang Arman dengan penuh kesayuan.

“Man. Bangun, Man. Sama-sama kita berubah. Kau sayang aku lagi tak, Man? Dulu kau berjanji nak menjaga aku. Jangan hanya berdiam, Man. Bangun, Man. Bangunlah!” teresak-esak Sara mengeluarkan kata-kata. Begitu kasih dia kepada lelaki yang dulu bersamanya. Wajahnya begitu mengharapkan lelaki yang disayanginya itu bangun dan berkata-kata walaupun dia tahu harapannya hanya sia-sia.

Kicauan burung nyaring bernada syahdu. Daun-daun kering berguguran seakan mengerti kesedihan yang dialami oleh Sara dan Arman. Kasih dan sayang Sara tidak berubah terhadap Arman. Sebab itu, Sara tidak pernah berhenti menjenguk Arman di hospital pada hujung minggu. Keadaan ini sudah berlanjutan selama tiga tahun selepas Sara ‘pulih’ dengan baik. keadaan semakin sayu. Sara tidak dapat lagi menahan setiap titisan air mata.

“Bangunlah, Man. Aku tak sanggup lihat kau membisu seperti ni, Man. Dulu kau berjanji nak menjaga aku. Kau ingat tak,Man?” Sara menangis sedih cuba mengingatkan Arman tentang janjinya dahulu.

Malam yang begitu resah. Suasana tegang walaupun terdengar ngiang bunyian cengkerik malam. Sara dan Arman asyik bertengkar menyalahi sesama sendiri di tepi jalan sunyi.

“Apa kita dah buat, Man? Aku dah buntu. Aku mengandung anak kau, Man!” jerit Sara kepada Arman sambil menangis teresak-esak. Dia sudah buntu kerana telah mengandung anak luar nikah kerana terlanjur dengan Arman. “Kau diam boleh tak? Kau ingat aku tak buntu? Kita gugurkan saja kandungan ni,” cadang Arman yang sudah kelihatan gelisah.

“Aku takut, Man. Kau janji yang kau akan jaga aku sampai bila-bila. Kau janji, Man!” tegas Sara yang masih lagi tidak berhenti menangis. Tubuhnya menggeletar ketakutan. “Ya, Sara. Aku akan jaga kau. Aku sayangkan kau sampai bila-bila. Kau tunggu sini kejap. Aku nak jumpa kawan aku. Dia boleh tolong kita. Kau tunggu kat sini,” janji Arman pada Sara lalu berlari untuk berjumpa dengan kawannya.

Arman yang tergesa-gesa melintas jalan tidak menyedari sebuah kereta sudah menghampirinya dengan laju. Arman dilanggar kuat sehingga terpelanting jauh. Arman yang sudah berdarah dan cedera parah di bahagian kepala hanya terkulai di tengah-tengah jalan. Sara yang memerhatikan kejadian itu hanya mampu menjerit dan menitiskan air mata. Begitu buntu fikirannya memikirkan perkara yang akan berlaku selepas ini. Orang yang dipercayai dan disayanginya terlentang parah di tengah jalan.

“Aku buntu waktu tu, Man. Apa yang aku perlu buat? Aku seperti kehilangan segalanya. Aku bersyukur kerana mempunyai keluarga yang masih lagi membantuku,” ujar Sara yang masih lagi bersedih mengingatkan kisah lampau itu. “Kak Sara, waktu melawat dah habis. Saya terpaksa bawa Arman ke dalam wad,” tegur Liza yang tidak disedari telah sampai di situ.

“Baiklah. Tunggu sekejap,” kata Sara tersenyum. Matanya masih lagi berlinangan air mata. Aliya datang menjengah Sara seperti tahu bahawa dia sudah mahu pulang.

“Salam Pak Cik Man dulu. Kita dah nak pulang,” kata Sara pada Aliya.

Aliya bersalam dengan Arman walaupun tangan Arman hanya kaku di ribanya. Aliya mencium pipi Pak Cik Armannya. Sara tersenyum sayu melihat keadaan itu. Sara berbisik kepada Arman. “Esok aku ke luar negara, Man. Ini kali terakhir mungkin aku menjenguk kau. Aku akan berada jauh dari sini,” bisik Sara. Air matanya terus mengalir kerana sedih untuk meninggalkan Arman dalam keadaan sebegitu.

Arman sedih dengan kata-kata itu. Namun, dia hanya kaku dan lesu di situ.

“Liya ni anak kita, Man. Anak kita. Dia perlukan kasih sayang seorang ayah, Man. Bangunlah, Man,” bisik Sara lagi pada Arman yang sudah lama merahsiakan perkara ini daripadanya. Dia masih lagi mengharapkan Arman untuk bangun bersamanya. Namun, hampa. Air mata Sara mengalir laju. Aliya hanya bingung memerhatikan ibunya. Sara tidak sanggup lagi meratapi kesedihan pada waktu itu. Dia meletakkan sebuah Al-Quran di tangan Arman. “Selamat tinggal, Man.” ucapan terakhir daripada Sara kepada Arman. Dia memimpin tangan Aliya dan berlalu dari situ meninggalkan lelaki yang dicintainya untuk selamanya. Air mata Arman menitis membasahi Al-Quran yang diberi oleh Sara.