Ceburi bidang perniagaan

Ceburi bidang perniagaan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 22 Sept – Suri rumah dan ibu-ibu tunggal disarankan menceburi bidang perniagaan sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka, sekali gus menampung kehidupan mereka dan anak-anak bagi keselesaan hidup di kemudian hari.

Saranan ini dibuat oleh dua orang Penolong Setiausaha Ahli Jawatankuasa Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Lorong Tiga selatan Seria, Dayang Rohani binti Jaafar dan Dayang Latifah binti Bakar selepas menyertai Bengkel Konsep Keusahawanan bagi MPK-MPK di Daerah Belait, anjuran bersama Brunei Shell Petroleum (BSP), Jabatan Daerah Belait dan LiveWire Brunei di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC).

Menurut mereka lagi, bermula dengan berniaga kecil-kecilan seperti menjual biskut dan kuih-muih, anyaman daripada manik-manik bunga, nasi katok dan menjahit pakaian, suri rumah dan ibu-ibu tunggal ini mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik dan selesa.

“Pembabitan Biro Wanita dalam bengkel ini adalah untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk mendalami bidang perniagaan serta mengongsinya bersama ahli-ahli lain yang termasuklah suri rumah dan ibu-ibu tunggal dalam kampung ini,” ujar Dayang Latifah.

Gambar ramai peserta bengkel keusahawanan.
Gambar ramai peserta bengkel keusahawanan.

Bengkel itu dihadiri 30 ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) terdiri daripada MPK Kampung Sungai Teraban, Kampung Labi II, Kampung Lorong Tiga Selatan dan RPN Panaga 2000. Ia merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pelaburan Sosial Masyarakat Asas BSP dan dikendalikan oleh Kaunselor Perniagaan Kanan, Awang Mohd Fadhilulah Tudun bin Haji Hassan dan Pengarah Program LiveWIRE Brunei Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib, Penghulu Mukim Seria Haji Jamail bin Haji Linap, Ketua Kampung Sungai Teraban Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara, Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

 

Awang Hasmiron menyampaikan sijil kepada Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria.
Awang Hasmiron menyampaikan sijil kepada Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria.
Dayang Latifah dan Dayang Rohani ketika ditemuramah oleh Media Permata.
Dayang Latifah dan Dayang Rohani ketika ditemuramah oleh Media Permata.

Bengkel mengetengahkan perbincangan mengenai pengenalan konsep keusahawanan, perancangan dan pelaksanaan dalam perniagaan, pengembangan perniagaan serta rancangan penyediaan pelan perniagaan.

Menurut Pengiran Redzuan, bengkel bertujuan memberi panduan dan membimbing MPK-MPK ini ke arah pengembangan produk dan perniagaan mereka. “Kami percaya perniagaan yang dikendalikan oleh MPK-MPK ini boleh berkembang maju dan berpotensi menjadi sebuah koperasi yang mampu berdaya saing dan bertahan lama,” katanya ketika ditemu bual wartawan Media Permata.

Bengkel diakhiri dengan sesi perbincangan dan soal jawab antara peserta dan penyelaras bengkel serta penyampaian sijil penghargaan oleh Penolong Pegawai Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA