Ceburi perniagaan berimpak tinggi

Ceburi perniagaan berimpak tinggi

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bersetuju untuk menyediakan dana RM50 juta tidak lama lagi bagi membantu membangun dan menggalakkan penyertaan koperasi dalam perniagaan berimpak tinggi terutama dalam sektor perkhidmatan dan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Senator Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata dana itu akan disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran profil 100 koperasi terbaik negara sempena program Hari Koperasi Negara 2015, di sini hari ini, beliau berkata TERAJU dan SKM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mengatur dan melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah program pemantapan koperasi.

Beliau berkata Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) akan mengagihkan dana itu sama ada sebagai pinjaman atau geran kepada koperasi yang berminat dan layak.

“Mudah-mudahan, jika ini berjalan lancar baik kita boleh meminta TERAJU memperuntukkan lebih lagi pembiayaan,” katanya.

Senator Datuk Ahmad Bashah.
Senator Datuk Ahmad Bashah.

Mengenai 100 koperasi terbaik, ia dipilih berdasarkan kriteria yang dikeluarkan oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), sebuah pertubuhan dunia untuk pengurusan koperasi.

“Saya berharap lebih banyak lagi akan menduduki tempat 10 terbaik manakala koperasi baharu boleh menyertai kedudukan 100 koperasi terbaik di negara ini tahun depan,” kata beliau.

Lima koperasi terbaik ialah Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd, Bank Kerjasama Malaysia Bhd, Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Bhd, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd dan Koperasi Kakitangan PETRONAS Bhd.

Terdahulu, Ahmad Bashah menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) antara SKM dan Kementerian Belia dan Sukan, TERAJU, YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) dan Bank Rakyat.

MoU itu untuk memudahkan pembangunan dan peningkatan koperasi, pengagihan dana RM50 juta daripada TERAJU, dan penglibatan belia yang lebih luas dan koperasi Bumiputera dalam aktiviti ekonomi utama.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian empat MoU lain – termasuk antara koperasi tempatan dan berpangkalan di semenanjung Malaysia, serta antara Koperasi Usahawan Groom Big Kelantan Bhd dan syarikat berpangkalan di Thailand, HPA Thailand Halal Products and Trading Co Ltd.

Ahmad Bashah berkata MoU berkenaan akan membolehkan koperasi Kelantan mengeksport produk halal bernilai RM500,000 ke selatan Thailand setiap bulan.