Cech bersama Arsenal

Cech bersama Arsenal

LONDON, 30 Jun (AFP) – Petr Cech bersetuju untuk menyertai Arsenal dari juara Liga Perdana Chelsea untuk ‘kontrak jangka masa panjang dengan bayaran yang tidak didedahkan,’ Gunners mengumumkan dalam laman sesawang mereka semalam.

Penjaga gol antarabangsa Czech berusia 33 tahun itu membuat lebih daripada 400 kemunculan dalam 11 tahun di Stamford Bridge selepas berhijrah dari kelab Perancis, Rennes tetapi baru–baru ini mendapati dirinya beraksi sebagai pengganti Thibaut Courtois.

“Saya teruja menyertai Kelab Bola Sepak Arsenal dan tidak sabar-sabar untuk menyertai mereka dalam pra musim,” kata Cech.

“Saya mempunyai komitmen yang sama kepada bola sepak, motivasi yang sama dan kemahuan yang sama bagi kejayaan seperti yang saya miliki pada awal kerjaya saya dan saya suka cabaran yang dibawa oleh pemain berkualiti tinggi yang anda hadapi ketika beraksi dalam Liga Perdana.

“Apabila Arsene Wenger bercakap kepada saya mengenai hasratnya bagi kelab ini dan bagaimana dia melihat saya sebagai sebahagian daripada pasukannya, keputusan itu sudah jelas.”

Petr Cech meninggalkan Chelsea dan menyertai Gunners untuk kontrak jangka panjang bermula musim depan. – Reuters
Petr Cech meninggalkan Chelsea dan menyertai Gunners untuk kontrak jangka panjang bermula musim depan. – Reuters

Pengurus Arsenal Wenger menambah: “Petr Cech adalah seorang pemain yang telah lama saya kagumi dan saya gembira dia memutuskan untuk menyertai kami.

“Dia telah membuktikan banyak musim sebagai salah seorang penjaga gol luar biasa dunia dan dia akan menambah kekuatan kepada skuad kami,” kata pengurus dari Perancis itu.

Ketika bersama Chelsea, Cech memenangi 13 trofi termasuk empat gelaran Liga Perdana, empat Piala FA dan Liga Juara–Juara 2012.

Pada tempoh yang sama, Arsenal terpaksa berpuas hati dengan tiga kemenangan Piala FA termasuk kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa musim lalu.

ARTIKEL YANG SAMA