Cef Sun hiburkan kanak-kanak Pusat Ehsan

Cef Sun hiburkan kanak-kanak Pusat Ehsan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pagi tadi telah dihiburkan dengan acara amal pertunjukan memasak yang menampilkan salah seorang cef terkenal dari Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Cef Sun.

Acara anjuran Yi Yuan Ting Fine Dining, Pondok Mpat Laut Restoran dan Perkhidmatan Katering itu telah diadakan di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong.

Hadir pada acara tersebut ialah Pemangku Pengerusi, Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab; Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin dan Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

Cef Sun semasa membimbing cef tempatan di dalam menyediakan masakan mereka.
Cef Sun semasa membimbing cef tempatan di dalam menyediakan masakan mereka.

Dato Paduka Haji Mohd Alimin dalam ucapannya pada acara itu melahirkan perasaan gembira dan berbesar hati kepada para penaja acara dan juga Cef Sun kerana berkesudian untuk hadir dan memilih Pusat Ehsan bagi mengadakan acara ini.

Acara diisikan dengan sesi bimbingan masakan oleh Cef Sun kepada cef-cef tempatan dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) dalam menyediakan hidangan.

Ia bertujuan memberikan pengetahuan kepada mereka, di samping berkongsi pengalaman bersama anak-anak istimewa di Pusat Ehsan khususnya dalam bidang masakan sambil berhibur.

Mula bergiat aktif dalam bidang masakan sejak 28 tahun yang lalu, Cef Sun kini mempunyai pengalaman memasak di 17 buah negara di seluruh dunia termasuk pernah berkhidmat di hotel-hotel terkemuka.

ARTIKEL YANG SAMA