Cegah gejala Vandalisme

Cegah gejala Vandalisme

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat atau dikenali sebagai vandalisme kini semakin meningkat dan kian meruncing di mana perbuatan vandalisme yang dilaporkan termasuklah kegiatan merosakkan peralatan permainan di taman-taman riadah dan rekreasi yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, tinjauan media ke taman permainan STKRJ Sungai Buloh hari ini mendapati keseluruhan kemudahan permainan yang disediakan untuk beriadah bagi keselesaan penduduk sekitarnya musnah dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab.

Akibat daripada kejadian itu, jumlah kerugian pastinya bukan kecil dan kerja-kerja untuk menggantikan peralatan yang baru dan membaik pulih kemudahan yang telah dirosakkan itu pastinya akan mengambil masa.

Siapakah yang harus dipersalahkan apabila melihat ‘hasil seni’ pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan apabila kebanyakan taman permainan yang disediakan telah dirosakkan.

Keadaan taman permainan STKRJ Sungai Buloh yang menjadi mangsa vandalisme.
Keadaan taman permainan STKRJ Sungai Buloh yang menjadi mangsa vandalisme.

Masalah sedemikian tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan juga masyarakat kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini mungkin boleh mengundang bencana.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak tertentu dalam membendung masalah ini, nampaknya tiada jalan kesudahannya memandangkan perbuatan vandalisme terus-terusan berlaku.

Dalam usaha menjaga dan menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dalam jangka panjang memerlukan sokongan orang awam untuk sama-sama menjaga dan memelihara kemudahan tersebut.

Setiap individu haruslah memupuk sifat bertanggungjawab dan tidak lepas tangan dalam memastikan segala kemudahan yang tersedia berkeadaan baik dan sempurna.

ARTIKEL YANG SAMA