Cegah jangkitan nyamuk

Cegah jangkitan nyamuk

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 17 Nov – Orang ramai diingatkan supaya terus berwaspada terhadap penyakit bawaan nyamuk terutamanya semasa musim hujan kebelakangan ini.

Nyamuk merupakan vektor pembawa penyakit yang boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia seperti penyakit demam denggi, malaria, chikungunya, filariasis dan Japanese Encephalitis.

Peringatan ini dibuat oleh Pegawai Kesihatan Kanan di Jabatan Kesihatan Daerah Tutong, Koh Kik Fok ketika ditemu bual Media Permata mengenai usaha-usaha Pejabat Kesihatan Daerah Tutong dalam membasmi pembiakan nyamuk.

Menurut beliau, Pejabat Kesihatan Daerah Tutong pada masa ini sedang giat melakukan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan penyakit bawaan nyamuk, khususnya pembasmian tempat pembiakan nyamuk, penyemburan racun serangga dan seterusnya menyampaikan taklimat kesihatan dan berkaitan mengenainya kepada orang ramai.

Penyemburan racun nyamuk yang bertujuan untuk mengawal pembiakan nyamuk.
Penyemburan racun nyamuk yang bertujuan untuk mengawal pembiakan nyamuk.
Orang ramai bergotong-royong membersihkan persekitaran bagi membasmi dan mencegah pembiakan nyamuk.
Orang ramai bergotong-royong membersihkan persekitaran bagi membasmi dan mencegah pembiakan nyamuk.
Koh Kik Fok ketika ditemu bual oleh media.
Koh Kik Fok ketika ditemu bual oleh media.

Salah satu program dan usaha pejabat dalam membasmi pembiakan nyamuk, jelasnya lagi, adalah menggunakan penyemburan racun serangga di seluruh kampung di daerah ini mengikut jadual yang ditetapkan.

Penyemburan racun ini dilakukan sebulan dua kali bagi setiap kampung sebagaimana mengikut kitaran pembiakan nyamuk yang mana selepas dua minggu, nyamuk akan menjadi nyamuk dewasa. Namun beliau menjelaskan bahawa penyemburan racun nyamuk ini adalah bersifat sementara sahaja.

“Ia bukan menghapus pembiakan nyamuk, namun semburan racun serangga atau nyamuk ini hanya dapat mengawal pembiakan nyamuk,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai supaya jangan bergantung kepada semburan racun nyamuk, tetapi mestilah menjaga kebersihan di kawasan masing-masing kerana nyamuk-nyamuk ini sentiasa membiak di tempat-tempat tertentu yang tidak terjaga dan tidak dibersihkan.

Nyamuk mudah membiak dalam takungan air sama ada di dalam atau di luar rumah seperti pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat, botol plastik dan bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap, tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya, di samping sampah sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas tayar yang terbiar, botol kosong dan bekas kotak makanan.

“Orang ramai perlu membuat pemantauan di tempat-tempat pembiakan nyamuk dan seterusnya memusnahkan tempat-tempat tersebut. Kebersihan ini bukan sahaja dapat membasmi nyamuk bahkan ia adalah tanggungjawab bersama untuk sama-sama menjaga persekitaran rumah mahupun di pejabat dan alam sekitar,” tegas Koh Kik Fok.

ARTIKEL YANG SAMA