Cegah jenayah di Sg Brunei

Cegah jenayah di Sg Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Satu operasi bersepadu membabitkan 129 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang, diketuai Cawangan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei telah diadakan di perairan Sungai Brunei dan kawasan sekitarnya kelmarin dalam usaha mencegah kegiatan jenayah dan penyeludupan.

Operasi selama lima jam itu yang turut membabitkan Tentera Laut Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, juga bertujuan mengesan kesalahan-kesalahan yang berhubung kait dengan perlesenan, pendaftaran dan penggunaan perahu khususnya penggunaan perahu-perahu tambang yang menjalankan operasi harian.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, Operasi Bersepadu itu telah menunjukkan hasil yang positif apabila beberapa kesalahan telah dapat dikesan dan diambil tindakan seperti di bawah Akta Kastam iaitu menyeludup barang tegahan, dan di bawah Undang-undang dan Peraturan Jabatan Laut yang berkaitan dengan perlesenan dan pendaftaran dan juga di bawah Akta Perikanan.

Sehubungan itu, orang awam terutama pengusaha perahu tambang dan orang persendirian yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan air serta para pengguna lain diingatkan sentiasa mematuhi apa jua undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti memakai jaket keselamatan semasa berada di dalam perahu.

Mereka juga perlu lebih berwaspada ketika mengemudi terutama pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca kurang baik dan jika cuaca tidak mengizinkan adalah dinasihati supaya jangan sekali-kali melakukan perjalanan atau keluar ke laut.

Operasi bersepadu membabitkan 129 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang diadakan di perairan Sungai Brunei dan kawasan sekitarnya.
Operasi bersepadu membabitkan 129 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang diadakan di perairan Sungai Brunei dan kawasan sekitarnya.

ARTIKEL YANG SAMA