Cegah kebakaran di rumah

Cegah kebakaran di rumah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Rumah kediaman yang dilengkapi peralatan pencegah kebakaran seperti Alat Pemadam Api, Selimut Api, Alat Pengesan Asap memberi kesan yang jauh berbeza berbanding rumah yang tidak dilengkapi peralatan pencegah kebakaran.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam saranan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2016 menjelaskan, kebakaran rumah akan terus meningkat bagi rumah yang tidak dilengkapi peralatan pencegahan kebakaran jika langkah positif tidak diambil oleh penghuni rumah dan mengetahui cara menggunakan peralatan tersebut dengan betul.

Dengan adanya kesedaran terhadap perkara ini, ia dapat mengurangkan jumlah kerugian, kecederaan dan kematian akibat terperangkap dalam rumah.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru orang ramai supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan bagi mengelakkan kemalangan.

Jabatan turut menekankan langkah pencegahan awal perlu bukan saja semasa mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut kedatangan Hari Raya, tetapi ia hendaklah dijadikan amalan keselamatan seharian.

Melihat kepada statistik jumlah panggilan kecemasan yang diterima dari Januari hingga Mei 2016, sebanyak 61 panggilan kebakaran dicatatkan dan daripada jumlah tersebut, 38 panggilan bagi kebakaran rumah dan 23 panggilan bagi kebakaran bangunan.

Statistik tersebut juga menunjukkan jumlah kerugian sepanjang tempoh tersebut sebanyak $1,599,230 manakala jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan pula sebanyak $834,200.

Sementara itu, kebakaran bangunan dari Januari hingga Mei 2016 melibatkan anggaran kerugian sebanyak $544,310 dan harta benda yang diselamatkan sebanyak $230.

Manakala itu, perbandingan panggilan kebakaran pada tahun 2015 sebanyak 116 panggilan, dengan 77 panggilan bagi kebakaran rumah dan selebihnya bagi kebakaran bangunan.

Jumlah kerugian dan harta benda yang berjaya diselamatkan sepanjang tahun 2015 dianggarkan melebihi $3 juta.

Dalam statistik jabatan berkenaan juga menunjukkan, jumlah kerugian yang dianggarkan bagi kebakaran bangunan pada tahun 2015 melebihi $8 juta dan harta benda yang berjaya diselamatkan lebih $14 juta.

Perbandingan statistik panggilan kebakaran rumah dan bangunan pada tahun 2015 dari Januari hingga Mei tahun ini telah menunjukkan peningkatan.

Antara punca utama berlakunya kebakaran rumah dan bangunan dipercayai daripada terlebih beban elektrik, kepanasan yang berlebihan, litar pintas, sambungan longgar dan pendawaian yang usang.

Selain itu, masakan yang ditinggalkan, hos LPG yang longgar dan bocor, kanak-kanak bermain api dan puntung rokok juga menyumbang kepada kejadian kebakaran di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai ditekankan agar sentiasa peka dan menitikberatkan aspek keselamatan dan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran.

Di samping itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyentuh mengenai kes panggilan palsu. Walaupun jumlah panggilan palsu menurun, jabatan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang panggilan palsu.

Membuat panggilan palsu merupakan satu kesalahan dan akan dikenakan denda sebanyak $5,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan atau memerlukan khidmat nasihat mengenai aspek keselamatan pencegahan kebakaran di rumah, boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 2382860.

ARTIKEL YANG SAMA