Cegah pencemaran jerebu rentas sempadan

Cegah pencemaran jerebu rentas sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi alam sekitar dari negara-negara anggota ASEAN (AMS), hari ini, telah mengadakan Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan ke-12 (COP-12) yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Pada mesyuarat itu, Brunei Darussalam telah diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, dalam mesyuarat berkenaan, para menteri antara lain telah mengesahkan semula komitmen untuk melaksanakan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (AATHP) secara efektif untuk mencegah dan mengawasi pencemaran jerebu merentas sempadan akibat daripada kebakaran tanah gambut dan hutan menerusi usaha-usaha bersepadu negara dan kerjasama serantau.

Sidang menteri juga memuji perkembangan penting dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti/program perjanjian, antaranya, perkembangan dalam penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) dan cadangan kajian mengenai kesan jerebu ke atas ekonomi, kesihatan dan sosial pada 2015 di rantau ASEAN.

Menteri-menteri juga menerima pakai Peta Laluan mengenai Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempena dengan Cara-cara Pelaksanaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin yang mewakili negara pada mesyuarat tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin yang mewakili negara pada mesyuarat tersebut.

Peta laluan berkenaan akan berfungsi sebagai rangka kerja strategik dalam perlaksanaan tindakan-tindakan usaha sama untuk mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ASEAN bagi mencapai Wawasan ASEAN Bebas Jerebu Rentas Sempadan menjelang 2020.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, para menteri juga mengambil maklum mengenai ramalan cuaca Pusat Kaji Cuaca Khusus ASEAN (ASMC) untuk rantau ASEAN bagi beberapa bulan akan datang, terutamanya keadaan Neutral (bukan El Nino atau La Nina) yang lazim dan peluang pembentukan La Nina pada suku ketiga 2016.

Hujan dijangkakan tinggi daripada normal, bagaimanapun, tempoh cuaca lebih kering masih dijangkakan ketika kemuncak musim kering di rantau selatan ASEAN antara Ogos dan September.

Oleh yang demikian, AMS berjanji untuk kekal berjaga-jaga dan secara berterusan mengawasi dan meningkatkan usaha-usaha pencegahan jerebu mereka bagi meminimumkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah gambut dan hutan dengan jangkaan cuaca lebih kering di rantau selatan ASEAN dalam beberapa bulan akan datang.

Di samping itu, sidang menteri juga menekankan keperluan bagi AMS untuk memberikan keutamaan dan komitmen menyelesaikan masalah jerebu dalam sasaran dan garis masa yang dijangkakan dalam pelan tindakan negara-negara.

Menurut kenyataan itu, menteri-menteri berkenaan akan bermesyuarat lagi pada 2017 di Brunei Darussalam bagi COP-13.