Cegah penyakit berjangkit

Cegah penyakit berjangkit

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Pengawalan jangkitan merupakan satu bidang yang tidak hanya melibatkan atau memberi kesan kepada pakar-pakar terlatih yang khusus sahaja tetapi juga merupakan isu yang mempunyai kesan kepada semua pakar perubatan.

Oleh itu, dengan usaha untuk meningkatkan kesedaran melalui Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa, lebih ramai pesakit akan meraih manfaat daripada amalan penjagaan kesihatan yang lebih selamat serta pengurangan ancaman daripada jangkitan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

Perkara itu ditekankan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perubatan di Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Dato Paduka Dr. Haji Isham bin Haji Jaafar ketika berucap di Perasmian Persidangan Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau berkata lagi, hasil kajian Pusat Kawalan Penyakit (CDC) baru-baru ini, mendapati bahawa pada satu-satu hari, dianggarkan seorang daripada 25 pesakit hospital mendapat jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan.

Dato Paduka Dr. Haji Isham ketika menghadiri persidangan itu.
Dato Paduka Dr. Haji Isham ketika menghadiri persidangan itu.
Dr. Ling menyampaikan ceramah ‘It is in your hands’.
Dr. Ling menyampaikan ceramah ‘It is in your hands’.
Antara peserta yang menghadiri persidangan itu.
Antara peserta yang menghadiri persidangan itu.

Oleh itu, Dato Paduka Dr. Haji Isham amat menghargai bahawa proses Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) membolehkan JPMC untuk merangka standard dan pendekatan untuk melaksanakan program-program pencegahan jangkitan dengan efektif.

Beliau menambah bahawa sudah terbukti bahawa pencegahan jangkitan bermula daripada mematuhi amalan penjagaan kebersihan tangan yang baik. Oleh itu, beliau percaya bahawa semua orang mampu untuk membantu dalam mencegah penularan jangkitan dengan melibatkan diri, memberikan sokongan serta melaksanakan perubahan dengan kaedah mereka tersendiri.

Dato Paduka Dr. Haji Isham berkata lagi, bahawa kita mempunyai pelbagai benda yang kita tidak kongsikan seperti kod untuk kad kredit, lokasi ketika berada di luar rumah atau sarung tangan bedah yang telah digunakan.

“Semua orang harus sedar, mengapa kita berkongsi penyakit sedangkan kita hanya perlu memastikan tangan kita bersih?”

Terdahulu dari itu, Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Jangkitan JPMC, Dr. Kabeer Meera Sahib, dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa JPMC sudah dua tahun menghoskan Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa di mana bagi 2015, ia membawa tema, ‘It is in your hands’. Beliau berkata persidangan itu dihasratkan untuk mengetengahkan usaha-usaha pengawalan jangkitan di kemudahan penjagaan kesihatan dan dalam masyarakat.

Ia juga bermatlamat untuk memberikan peluang kepada profesional kawalan jangkitan untuk mendidik kakitangan mereka dan juga masyarakat mengenai pentingnya pencegahan jangkitan serta untuk mempromosikan tugasan penting yang sedang dilaksanakan oleh pakar-pakar kawalan jangkitan.

Persidangan yang dihadiri lebih daripada 150 peserta itu berpeluang untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh empat orang penceramah tempatan dan undangan. Semasa persidangan itu, penceramah undangan, Pengarah Kawalan Jangkitan, Singapore General Hospital, Dr. Ling Moi Lin menyampaikan ceramahnya bertajuk, ‘It is in your hands’ di mana beliau berkongsi pengalaman, program dan amalan terbaik yang dikendalikan oleh hospitalnya dalam pengawalan dan pencegahan jangkitan.

Penceramah-penceramah lain yang menyampaikan ceramah semasa persidangan berkenaan ialah Profesor Madya di Singapore General Hospital, Kwa Lay Hoon yang menyampaikan kertas saintifik bertajuk, ‘Antifungal Stewardship’, Konsultan Mikrobiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Terence Chinniah yang membentangkan mengenai, ‘Application of Behavioural Science in Infection Control and Antibiotic Stewardship’ serta Pemangku Jururawat Klinikal JPMC, Rozi Ismail yang menerangkan mengenai perjalanan JPMC ke arah mendapatkan pengiktirafan JCI.

Pada persidangan itu juga, para peserta berpeluang untuk berbincang dengan panel penceramah mengenai kawalan dan pencegahan jangkitan. Persidangan itu ditaja oleh MSD atau lebih dikenali sebagai Merck & Co, dengan pengurus serantau, Jimmy Biones.

ARTIKEL YANG SAMA