Cegah polio, jaga kebersihan

Cegah polio, jaga kebersihan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Berikutan berlakunya kes jangkitan vaccine-derived poliovirus type 1 di Republik Demokratik Laos yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), baru-baru ini, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat kesihatan kepada orang ramai di negara ini.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang hendak berkunjung ke negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan dengan sentiasa menjaga kebersihan diri dan keselamatan makanan.

Para pengunjung disarankan agar mengutamakan kebersihan diri sendiri dan makanan, meminum air yang dimasak dan memastikan makanan dimasak dengan sempurna.

Selain itu, pengunjung juga perlu membasuh tangan menggunakan sabun dan air yang bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, serta berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda penyakit polio selepas kembali daripada perjalanan.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke negara-negara yang terjejas juga dinasihatkan untuk menerima vaksin mencegah polio di pusat-pusat suntikan, pada waktu pejabat.

Menurut kenyataan itu, polio merupakan penyakit jangkitan usus disebabkan virus polio yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar.

Meskipun kebanyakan kes polio tidak menunjukkan tanda-tanda, sesetengah pesakit yang dijangkiti polio menghidap demam panas, sakit kepala, hilang selera makan, sakit tekak dan ada juga pesakit lumpuh anggota badan.

Pemberian vaksin Polio untuk kanak-kanak telah dimulakan di negara ini pada tahun 1962 dan sejak 1978 tidak ada kes Polio dilaporkan. Rantau Pasifik Barat termasuk Negara Brunei Darussalam telah diisytiharkan bebas polio pada tahun 2000.

Pihak kementerian juga akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai jika perlu. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Healthline Kementerian Kesihatan di talian 145.

ARTIKEL YANG SAMA