Cekal harungi ibadah puasa 18 jam

Cekal harungi ibadah puasa 18 jam

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Walaupun berjauhan daripada keluarga namun bulan Ramadan memberikan peluang kepada pelajar Brunei di New Castle University, United Kingdom mengeratkan silaturahim sesama rakan pelajar Islam di negara tersebut.

Salah seorang pelajar universiti tersebut yang juga Naib Presiden Brunei Newcastle Society (BNS), Dayang Amal Nazihah Nirwan berkongsi pengalamannya berpuasa di perantauan.

Beliau yang menyertai Persatuan Pelajar dari Newcastle University & Northumbria University di Newcastle menjelaskan, walaupun ramai pelajar Brunei pulang ke tanah air tetapi mereka yang tinggal di sana tetap meneruskan ibadah puasa dan bersungkai beramai-ramai.

“Kami akan bersungkai beramai-ramai di salah sebuah restoran yang menyajikan hidangan bufet halal bernama Za Za Bazaar di sana,” jelasnya.

Katanya lagi, waktu Maghrib di sana agak lewat sekitar pukul 9:45 malam manakala waktu subuh pula pada pukul 2:45 pagi.

Antara aktiviti bersungkai bersama-sama yang dijalankan sepanjang berada di perantauan.
Antara aktiviti bersungkai bersama-sama yang dijalankan sepanjang berada di perantauan.

“Para pelajar Brunei yang masih belum pulang ke tanah air akan mengadakan aktiviti bersungkai beramai-ramai dan seterusnya solat fardu berjemaah, solat sunat Tarawih dan tadarus secara bersendirian,” tambahnya lagi.

Sepanjang berada di perantauan, beliau juga menjelaskan banyak cabaran yang perlu diharungi terutamanya apabila menunaikan ibadah puasa selama 18 jam.

“Ramadan juga membuatkan kami rapat antara satu sama lain terutama dalam kalangan rakan serumah. Kami memasak dan menyediakan juadah bersungkai bersama-sama,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, oleh sebab waktu subuh untuk bersahur agak awal, mereka akan berjaga sehingga subuh dan aktiviti yang dilakukan setiap hari itu menjadikan mereka lebih rapat antara sesama sendiri.