Cekap dalam menjaga keselamatan

Cekap dalam menjaga keselamatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Tugas seorang pengawal keselamatan tidak kurang pentingnya kerana mereka bertanggungjawab bagi menjaga keselamatan bukan sahaja harta benda di kawasan mereka ditempatkan, tetapi juga keselamatan orang-orang yang berada di kawasan berkenaan.

Mereka juga seharusnya sentiasa mengamalkan sifat cekap, amanah dan selamat dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.

Pesanan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI), Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Besar pada Majlis Penyampaian Sijil Kepada Peserta Kursus Asas Pengawal Keselamatan Siri 17/2015 yang berlangsung di KOPRI, Kampung Jaya Setia, hari ini.

Pada majlis tersebut, tujuh orang ahli lelaki dan seorang ahli wanita baru yang lulus tapisan keselamatan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, telah berjaya menamatkan kursus asas latihan pengawal keselamatan tersebut.

Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus yang diraikan.
Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus yang diraikan.

Kursus yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada mantan anggota Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei itu bermula pada 14 Disember lalu.

Semasa kursus berkenaan, mereka diberikan pendedahan dan penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab mereka selaku pengawal keselamatan, termasuk cara membuat rondaan, tatacara membuat pemeriksaan pelawat-pelawat persendirian, peraturan dan garis pandu pengawal keselamatan serta tatacara membuat laporan kejadian.

Selepas tamat kursus tersebut, mereka akan ditempatkan dan ditugaskan di daerah-daerah mengikut tempat tinggal mereka.

ARTIKEL YANG SAMA