Cekap tangani jenayah

Cekap tangani jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Empat warganegara asing termasuk seorang perempuan telah ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah semasa serbuan Operasi CEKUP Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), awal pagi tadi.

Operasi dari pukul 3:00 hingga 8:00 pagi itu, melibatkan serbuan mengejut ke atas rumah dan bilik-bilik sewa yang dipercayai terdapat kesalahan imigresen hasil daripada maklumat dan aduan orang ramai, di Mukim Kota Batu, Mukim Kianggeh, Mukim Sengkurong dan Mukim Berakas.

Menurut kenyataan JIPK, semasa serbuan ke atas rumah sewa di Mukim Sengkurong, seorang wanita warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi di belakang rumah, bagaimanapun tindakannya itu berjaya dipatahkan oleh pegawai bertugas yang terlebih awal mengepung rumah berkenaan.

Ketiga-tiga warga asing berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK bagi siasatan lanjut, dan seorang warga asing telah dikeluarkan pas khas sementara pasportnya ditahan bagi siasatan dan tapisan lanjut.

Seorang lelaki warga asing ditahan semasa menaiki perahu tambang.
Seorang lelaki warga asing ditahan semasa menaiki perahu tambang.
Pegawai bertugas membuat catatan ke atas seorang perempuan asing yang cuba untuk melarikan diri.
Pegawai bertugas membuat catatan ke atas seorang perempuan asing yang cuba untuk melarikan diri.
Pegawai bertugas membuat catatan dan menyoal siasat ke atas warga-warga asing yang dipercayai bersalah.
Pegawai bertugas membuat catatan dan menyoal siasat ke atas warga-warga asing yang dipercayai bersalah.

Sementara itu, dalam pemantauan di Mukim Kota Batu, seorang lelaki warga asing telah ditahan ketika menaiki perahu tambang kerana gagal menunjukkan dokumen sah dan kemudiannya dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK.

Satu surat panggilan dan satu pas juga telah dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan dan pengurus syarikat bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, JIPK mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA