Celik terhadap kewangan

Celik terhadap kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Dalam usaha untuk memberigakan peranan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan seterusnya meningkatkan kecelikan kewangan kepada pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan, AMBD, baru-baru ini, telah mengadakan jerayawara di Kementerian Perhubungan yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, kementerian berkenaan, di sini.

Semasa jerayawara itu diadakan, beberapa taklimat telah dikongsikan termasuk ‘Credit Bureau–Its Role in Your Financial Future’ yang menyentuh mengenai peranan-peranan dan kepentingan Biro Kredit, serta perkhidmatan dan manfaat yang dapat diperoleh daripada laporan kredit.

Menurut kenyataan AMBD di sini, perkhidmatan ‘Self-Inquiry’ yang ditawarkan oleh Unit Biro Kredit juga turut disentuh, di mana perkhidmatan ini membolehkan mana-mana individu dan syarikat untuk mendapatkan laporan kredit masing-masing bagi menyemak maklumat-maklumat yang dilaporkan mengenai mereka adalah betul dan terkemas kini.

Pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan yang mengikuti taklimat berkenaan.
Pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan yang mengikuti taklimat berkenaan.

Sementara itu, pada taklimat kedua pula menyentuh mengenai dengan ‘Penipuan Kewangan’, di mana Unit Isu Pengguna Kewangan telah menerangkan mengenai dengan risiko-risiko yang berkaitan dengan skim cepat kaya dan cara-cara untuk mengenal pasti penipuan kewangan selain mengingatkan untuk hanya menjalankan urusan kewangan atau pelaburan dengan individu-individu atau institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD.

Taklimat terakhir pula menyentuh mengenai Perintah Matawang, 2004 yang disampaikan oleh Unit Pengurusan Matawang, Kilang Wang, Reka bentuk Matawang dan Galeri yang menerangkan tatacara yang betul dalam mengendalikan mata wang dan duit syiling Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, pihak Biro Kredit AMBD juga menyediakan perkhidmatan ‘Self-Inquiry’ kepada mana-mana pegawai atau kakitangan Kementerian Perhubungan yang berhasrat untuk mendapatkan laporan kredit masing-masing semasa jerayawara itu.

Jerayawara ini merupakan kali ketiga daripada siri jerayawara AMBD bagi kementerian-kementerian kerajaan yang mana sebelum ini pernah diadakan di Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

ARTIKEL YANG SAMA