Celtic ikat City

Celtic ikat City

GLASGOW, Scotland, 29 Sept – Manchester City kembali bangkit bagi mengikat Celtic 3-3 dalam saingan Liga Juara-Juara yang mendebarkan awal pagi ini sekali gus mengakhiri rekod 100 peratus kemenangan City di bawah bimbingan jurulatih baru, Pep Guardiola.

Fernandinho dan Raheem Sterling menjaringkan gol penyamaan bagi City dalam saingan penuh aksi babak pertama selepas Celtic menjaringkan dua gol awal menerusi Moussa Dembele pada minit ketiga dan gol sendiri Sterling pada minit ke-20.

Dembele terus meletakkan Celtic di depan seminit selepas babak kedua bermula hasil kesilapan pertahanan Aleksandar Kolarov, sebelum Nolito menyamakan gol buat City pada minit ke-55.

City memenangi enam perlawanan Liga Perdana terdahulu, tiga perlawanan Liga Juara-Juara dalam peringkat kumpulan dan kelayakan serta satu dalam Piala Liga Inggeris dengan siri persembahan bebas gol.

Keputusan Itu meletakkan mereka menghampiri rekod Tottenham dengan 11 kemenangan berturut-turut pada permulaan musim kempen 1960-61.

Pemain Celtic Moussa Dembele meraikan jaringan semasa menentang City di Celtic Park, kelmarin. – AP
Pemain Celtic Moussa Dembele meraikan jaringan semasa menentang City di Celtic Park, kelmarin. – AP

“Tidak mengapa, kami ada satu mata, kami tidak tewas,” kata Guardiola yang pasukannya berdepan bekas kelab Barcelona dalam perlawanan akan datang.

“Saya pasti pemain tidak merasakan mereka akan menang dalam setiap perlawanan musim ini. Ia adalah mustahil. Pasukan terhebat di dunia juga tidak dapat (melakukannya).”

City ketinggalan buat kali pertama di bawah Guardiola dan juga bolos lebih daripada sekali buat kali pertama di bawah jurulatih Sepanyol itu. – AP

ARTIKEL YANG SAMA