Cemas nyawa di hujung tanduk

Cemas nyawa di hujung tanduk

MANILA, 21 Ogos (AFP) – Dua pengawal pantai Filipina menggigil dan menangis ketika menceritakan pengalaman ngeri mereka selama empat bulan dalam tawanan kumpulan ekstremis yang telah memenggal kepala salah seorang rakan tebusan mereka.

Gringo Villaruz dan Rod Allain Pagaling yang kelihatan berjambang berkata, hanya nasib dan tindakan pantas yang telah membantu mereka melarikan diri daripada militan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan negara itu.

“Setiap hari saya berasa seolah-olah akan mati,” kata Pagaling kepada pemberita sejurus tiba di Manila sambil anak perempuannya, Alina, 3 tahun, memeluk erat ke lehernya.

“Ia teramat sukar sekali. Kami tidak ada harapan lain, melainkan berdoa.”

Kedua-dua mereka yang diculik pada Mei lalu bersama seorang lagi tebusan, telah ditutup mata, dilucutkan baju serta dipaksa merayu-rayu dalam keadaan berlutut meminta nyawa, tatkala militan bertopeng meletakkan parang pada leher mereka.

Gringo Villaruz (berbaju putih) bercakap dengan anggota tentera selepas beliau dan rakannya diselamatkan daripada tawanan militan Abu Sayyaf, di sebuah hospital di Jolo. – AFP
Gringo Villaruz (berbaju putih) bercakap dengan anggota tentera selepas beliau dan rakannya diselamatkan daripada tawanan militan Abu Sayyaf, di sebuah hospital di Jolo. – AFP

Sebuah video mengenai rayuan terdesak telah dimuat-naik ke laman perkongsian video, Youtube dengan kumpulan menuntut sejumlah tebusan yang tidak dinyatakan.

Mayat seorang lagi tebusan, Rodolfo Boligao yang dipenggal kepalanya ditemui di sebuah lebuh raya gelap dan sunyi di Jolo minggu lalu.

Pemenggalan kepala itu membuatkan pasukan tentera elit Filipina melancarkan satu operasi berisiko untuk membebaskan 11 tebusan yang ditahan oleh militan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, termasuk dua anggota pengawal pantai serta dua warga Malaysia, seorang warga Belanda dan seorang warga Korea Selatan.

Setelah pihak tentera bertempur dengan kumpulan militan terbabit lewat Rabu lalu, Villaruz dan Pagaling berjaya meloloskan diri dari tawanan.

“Pertempuran itu cukup sengit hingga tiada masa untuk berfikir,” kata Villaruz.

“Kami hanya berlari dalam keadaan kelam kabut di merata-rata.”

Ditemui berasingan dalam jarak kira-kira sejam, mereka tidak tahu yang masing-masing berjaya melarikan diri sehinggalah mereka bertemu semula kelmarin di sebuah hospital tentera.

Militan Abu Sayyaf dipercayai masih menahan sembilan lagi baki tebusan dan pihak berkuasa terus memburu kumpulan itu, kata jurucakap tentera di Jolo, Kapten Antonio Bulao.

Seramai 15 anggota militan Abu Sayyaf terbunuh dalam pertempuran Rabu lalu.