Cemas pesawat tergelincir

Cemas pesawat tergelincir

SIBU, 26 Ogos (Bernama) – Dua juruterbang dan lapan penumpang selamat apabila pesawat Twin Otter MH3553 milik MASwings yang mereka naiki tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Mukah pukul 2.02 petang hari ini.

Pesawat yang terbang dari Miri ke Mukah itu sedang mendarat dan tergelincir ke kawasan berumput di sebelah kiri berikutan permukaan landasan yang licin kerana hujan.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau yang mengesahkan kejadian, berkata tiada kecederaan atau kerosakan pada pesawat dilaporkan berlaku.

“Setakat ini pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) Mukah masih menunggu maklum balas daripada MAB Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.11 petang.

Pesawat MASwings yang tergelincir di Lapangan Terbang Mukah kelmarin. – Bernama
Pesawat MASwings yang tergelincir di Lapangan Terbang Mukah kelmarin. – Bernama

Sebuah jentera dengan empat anggota dihantar untuk membuat pemantauan bagi memastikan keadaan tempat kejadian adalah selamat.

Pada 8 Julai lepas, sebuah jet yang membawa Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bergesel dengan sebuah pesawat MASwings selepas mendarat di Lapangan Terbang Mukah.

Bahagian hadapan pesawat MASwings yang sedang dipakir itu kemek manakala lampu di bahagian sayap kiri jet mengalami kerosakan.