Cemas ular tedung selar masuk kereta

Cemas ular tedung selar masuk kereta

BEAUFORT, 6 Jan – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar secara tiba-tiba masuk ke dalam enjin keretanya yang diletakkan di halaman rumahnya di Kampung Terusan Membakut, pagi tadi.

Menurut laporan myMetro edisi online hari ini, kehadiran reptilia berbisa sepanjang 3.5 meter disedari mangsa yang kebetulan berada berhampiran keretanya kira-kira 10 pagi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Beaufort, Staf Kanan (PA) Usman Harto dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10:40 pagi sebelum sepasukan anggota JPAM Beaufort bergegas ke lokasi kejadian.

“Empat anggota dikerah ke lokasi kejadian dan mengambil masa selama 20 minit untuk menangkap ular berkenaan kerana melingkar di ruang enjin selain kerja dilakukan dengan berhati-hati.

“Ular tedung selar itu kemudian dibawa ke Pejabat JPAM Beaufort sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.