Cemerlang di Australia

Cemerlang di Australia

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Dua orang atlet boling padang negara pulang ke tanah air hari ini dengan pencapaian yang membanggakan apabila pemain perseorangan wanita negara, Hajah Amalia Matali muncul naib juara dan Abdul Rahman Omar pula meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki di dalam Kejohanan Boling Padang Dunia Champion of Champions di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.

Penyertaan yang julung-julung kalinya disertai oleh pemain negara dalam kejohanan berprestij dan diiktiraf oleh Persekutuan Boling Padang Antarabangsa itu membuahkan hasil yang memberangsangkan dan bakal menjadi pendorong kepada penggiat sukan boling padang untuk lebih berjaya dalam kejohanan akan datang.

Ketika dihubungi, Hajah Amalia menyatakan beliau seolah-olah bermimpi untuk mara ke peringkat akhir dan berhadapan pemain hebat seperti Natasha Scott yang merupakan pemain nombor satu Australia untuk dua musim berturut-turut dan padanya meskipun tewas 10-6, 7-4 beliau bangga dengan pencapaian peribadinya itu.

“Saya tidak beralah dan cuba memberikan cabaran kepada Scott meskipun saya tahu beliau mempunyai banyak kelebihan kerana pada saya bukan menjadi alasan untuk memberikan kemenangan mudah baginya apatah lagi dengan penglibatan pertama kita di peringkat ini,” ujarnya.

Menurutnya, dalam kejohanan ini beliau terpaksa berhadapan dengan pemain-pemain yang pernah bergelar juara antaranya ialah juara Sukan Komanwel Sophie daripada United Kingdom dan di peringkat separuh akhir pula berhadapan juara dunia Carmen Anderson yang sememangnya sukar diduga.

Abdul Rahman (kiri) ketika memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.
Abdul Rahman (kiri) ketika memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.
Hajah Amalia dan Abdul Rahman yang berjaya meraih pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Boling Padang Dunia Champion of Champions di Gold Coast, Australia.
Hajah Amalia dan Abdul Rahman yang berjaya meraih pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Boling Padang Dunia Champion of Champions di Gold Coast, Australia.

Ketika ditanya perancangan seterusnya, beliau menjelaskan akan menyertai kejohanan boling padang dunia di New Zealand dalam acara Triple bersama Dayangku Nurul Nabilah dan Nur Uzma Khadijah dan menurutnya kejayaan di Australia akan menjadi penyuntik semangatnya dan sebagai pendorong kepada rakan sepasukan untuk melangkah lebih jauh.

“Dalam kejohanan dunia ini nanti kami akan berhadapan gergasi boling padang seperti Australia, Malaysia, New Zealand, England dan Scotland dan saya akan bertemu semula beberapa pemain yang sudah saya hadapi sebelum ini pada disiplin yang lain dan ia sangat mendebarkan,” tambah Hajah Amalia.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika dihubungi pula melahirkan perasaan berbesar hati untuk mewakili negara pada kejohanan di Australia itu.

Dan beliau juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam latihan dan persiapan mereka sebelum ini.

“Saya yakin pemain kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan bukan soalan mampu atau tidak kerana kita bukan sahaja mampu memberikan cabaran malah boleh menang dalam perlawanan kerana kita merupakan salah sebuah negara yang berpengalaman dalam sukan ini di rantau ini,” ujar Abdul Rahman.

Menurutnya, selepas ini apa yang penting adalah untuk melihat perkembangan dan peningkatan sukan tersebut di tanah air dan beliau yakin jika diberikan peluang, pastinya pemain muda akan lebih jauh melangkah dalam mana-mana kejohanan besar di peringkat serantau dan antarabangsa di masa akan datang.

Beliau juga berazam untuk memperbaiki kedudukan di kejohanan dunia di New Zealand sedikit masa lagi dalam acara perseorangan dan Triple yang bakal disertainya penghujung bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA