Cemerlang di Timor Leste

Cemerlang di Timor Leste

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Pelumba basikal gunung negara, Muhammad Nurjamri bin Johari mencatat rekod cemerlang apabila meraih tempat kedua bersama pasukannya Giant Kuching Team dan mendapat tempat ketujuh bagi acara perseorangan di Kejohanan Tour de Timor 2016, Timor Leste, baru-baru ini.

Kejohanan yang diadakan selama lima hari bermula dari 13 hingga 17 September yang merangkumi perlumbaan sejauh 1,363 kilometer melalui laluan setinggi 1,457 kaki di bawah suhu cuaca yang tinggi.

Menurut Muhammad Nurjamri, penyertaannya pada kejohanan itu merupakan pengalaman yang manis untuk membawa nama negara dan pasukan penajanya untuk meraih kejayaan dan sekali gus membuka lembaran baru kepada penyertaan peserta lumba basikal tempatan di kejohanan itu.

“Pasukan mendapat jemputan daripada Persatuan Lumba Basikal Timor Leste dan latihan persiapan untuk perlumbaan ini telah dijalankan sejak lima bulan yang lalu dengan mengadakan dua sesi setiap hari di samping latihan di gim,” ujarnya.

Meskipun menghadapi beberapa masalah teknikal ketika waktu perlumbaan, namun beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan perlumbaan itu.

 Muhammad Nurjamri ketika menyertai Kejohanan Tour de Timor 2016 di Timor Leste baru-baru ini.
Muhammad Nurjamri ketika menyertai Kejohanan Tour de Timor 2016 di Timor Leste baru-baru ini.

“Motivasi saya adalah untuk tekad menghabiskan perlumbaan kerana cabaran dalam perlumbaan ini sahaja sudah cukup untuk membuat sesiapa saja menarik diri namun saya bersyukur kerana mampu meneruskan perjuangan,” tegas beliau.

Beliau menyimpan hasrat untuk memperbaiki kedudukannya dalam sukan basikal gunung dan menyatakan akan menyertai perlumbaan penting November nanti pada kejohanan Piala ASEAN di Kuching untuk memperbaiki kedudukan lima tangga teratas beliau kepada kedudukan tiga teratas.

Mengulas mengenai penganjuran tempatan katanya semakin banyak perlumbaan dianjurkan yang mana membuktikan permintaan dan perkembangan positif terhadap sukan basikal gunung tempatan yang menjadi wadah penjagaan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat yang proaktif.

“Cabaran bukan sahaja daripada penganjuran, malah dengan peningkatan jumlah penyertaan.

Namun pada saya itu adalah petanda baik dan menjadi pendorong kepada saya untuk melakukan yang terbaik dalam acara yang saya sertai,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berharap semoga sukan basikal gunung akan terus berkembang dan terus diminati orang ramai, lebih-lebih lagi penyertaan daripada kalangan belia.

“Selain bersukan kita perlu melihat daripada aspek keselamatan dan diharapkan supaya persediaan dibuat secara rapi oleh semua pekayuh basikal baru terutama dalam latihan,” tegasnya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Persatuan Basikal Brunei Darussalam, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei, penajanya Giant Kuching Team, Jurulatih Yafis, BROS GYM, keluarga dan rakan-rakan atas sokongan dan dorongan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA