CEO Malaysia Airlines berhenti selepas hanya setahun

CEO Malaysia Airlines berhenti selepas hanya setahun

KUALA LUMPUR, 21 April – Ketua Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB),  Christoph Mueller, telah meletak jawatan, hanya setahun selepas mengambil jawatan itu untuk merombak syarikat penerbangan tersebut.

Warga Jerman berusia 54 tahun itu, yang juga pengarah urusan MAB, meletak jawatan “kerana perubahan keadaan peribadi,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan nasional itu telah mula mencari pengganti dari dalam dan luar, sementara Mueller memenuhi tempoh notis enam bulan hingga September. Beliau kekal sebagai pengarah bukan eksekutif dalam lembaga MAB.

“Malangnya, keadaan peribadi akan menyukarkan saya menyempurnakan penggal penuh saya,” kata Mueller dalam satu kenyataan syarikat penerbangan itu, tanpa mengulas lanjut.

Beliau sebelum ini telah membantu memulihkan syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus, dan dibawa masuk oleh MAB di bawah kontrak tiga tahun, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula syarikat penerbangan itu untuk memulihkannya daripada kerugian dan merombak imejnya berikutan dua bencana pesawat terbang pada 2014. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA