CEO SEB terima anugerah keusahawanan Asia Pasifik

CEO SEB terima anugerah keusahawanan Asia Pasifik

KUCHING, 1 Sept – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit menerima Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik (APEA) bagi Sektor Tenaga.

Beliau menerima anugerah berprestij itu daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 26 Ogos.

Dalam kenyataan di sini hari ini, SEB berkata anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik dan dinamik Torstein dalam menerajui transformasi SEB daripada sebuah syarikat utiliti tradisional kepada sebuah perbadanan pembangunan tenaga yang moden lagi cergas, yang mencatat prestasi kewangan serta operasi kukuh dan pengembangan perniagaan yang merentasi sempadan Sarawak.

Hasil kepimpinan beliau, SEB mencatat pertumbuhan hebat dan berkembang pesat dengan jumlah petugas bertambah daripada 2,300 pada 2009 kepada 4,500 hari ini.

“Di bawah kepimpinan beliau, tarif elektrik untuk pelanggan industri, komersial dan kediaman di negeri ini diturunkan dan merupakan yang paling rendah di Malaysia serta antara yang paling rendah di rantau ASEAN. – Bernama