Ceramah awal tahun hijrah

Ceramah awal tahun hijrah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Okt – Lebih 60 orang dalam kalangan pegawai dan ahli pangkat rendah Daerah Polis Belait telah menghadiri Majlis Ceramah Agama Sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 yang berlangsung di Surau Polis Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani.

Ceramah bertajuk ‘Rezeki Berkat Negara Selamat’ pada majlis anjuran Jawatankuasa Majlis Badan Ugama Daerah Polis Belait itu telah disampaikan oleh penceramah undangan daripada Pusat Dakwah Islamiah, Drs. Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Antara yang disentuh dalam ceramah tersebut adalah mengharapkan reda Allah, serta meningkatkan amalan mulia dan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan iman yang sempurna serta kukuh dengan menjaga solat, menjaga makanan, iaitu memastikan ianya halal, dan menjalankan tugas dengan amanah, elakkan rasuah serta pentingnya doa sebagai senjata orang beriman.

Drs. Haji Ismuhadi selaku penceramah undangan.
Drs. Haji Ismuhadi selaku penceramah undangan.

Menurut Drs. Haji Ismuhadi, dengan adanya kesempurnaan iman seseorang itu nescaya ia akan selamat dan dijauhkan daripada segala keburukan, dan sudah pasti Allah akan memberikan rezeki yang berkat di dunia dan akhirat.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438, selain untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan serta memberikan kefahaman dan kesedaran mengenai amalan seharian di samping untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara pegawai dan anggota polis.

ARTIKEL YANG SAMA