Ceramah Kanser Payudara 7 Okt

Ceramah Kanser Payudara 7 Okt

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) dengan kerjasama IA Salon akan mengadakan ceramah berkaitan isu tersebut kepada orang awam dan para pelanggan setia salon berkenaan pada 7 Oktober nanti bermula 10:15 pagi hingga 11:30 pagi, di IA Salon, The Mall, Gadong.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini, ceramah kesedaran itu akan disampaikan oleh profesional kesihatan dari BBCSG yang diketuai oleh matron ratu Dayangku Hajah Jaliha binti Pengiran Haji Hawa Momin.

Dayangku Hajah Jaliha selaku Setiausaha BBCSG, berkata, ceramah itu telah dianjurkan oleh IA Salon sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diadakan setiap tahun pada bulan Oktober, yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai kanser payudara dengan mendiagnosisnya lebih awal.

“Di Brunei Darussalam dan kebanyakan negara lain, kanser payudara ini telah menjadi salah satu pembunuh utama beberapa tahun kebelakangan, dengan lebih banyak kes telah didiagnosis setiap tahun dan mencatatkan banyak kematian.

“Dengan bantuan dan inisiatif pasukan IA Salon, kami sedang berusaha mewujudkan lebih banyak kesedaran dengan mengadakan ceramah di mana-mana premis yang dibenarkan dan kami berbangga yang IA Salon menyokong dan terlibat dalam kempen ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus IA Salon, Cecilia Lee dalam kenyataan itu turut mengatakan, ceramah itu diadakan sejajar dengan misi Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei untuk membantu wanita muda melindungi kesihatan payudara mereka dan mengurangkan risiko kanser payudara, dengan pasukannya berharap orang awam akan dapat menyumbang bagi menyebarkan kesedaran itu dengan menyertai mereka semasa ceramah berkenaan.

Menurutnya lagi, pasukannya percaya yang ceramah itu akan memberi manfaat dan menggalakkan kaum wanita untuk melakukan cara hidup seharian dengan bijak yang akan memberi impak yang positif pada masa hadapan.

Di samping ceramah pendidikan mengenai kanser payudara, BBCSG juga menunjukkan cara-cara pemeriksaan sendiri payudara yang amat penting bagi mendiagnosisnya lebih awal.

Sehubungan itu juga, kedua-dua pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai pada ceramah tersebut dengan kemasukan percuma dan tempat duduk adalah terhad.

Bagi sebarang tempahan, mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 2423232/8737232 atau mengunjungi ke IA Salon yang terletak di Tingkat Bawah G32, The Mall, Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA