Ceramah kesedaran belia dan teknologi

Ceramah kesedaran belia dan teknologi

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – TEDxYouth @ Gadong dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) akan mengadakan acara pertama mereka pada tahun ini pada 24 Januari 2016 Lecture Theatre JIS dengan tema ‘Belia & Teknologi’.

Acara sehari dari pukul 9 pagi hingga 4 petang itu akan diisi dengan siri ceramah oleh para penceramah dari JIS dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah serta tiga orang penceramah jemputan iaitu Dr. Masters, Delwin Keasberry dan Yusof Sidek.

Selain daripada itu, acara juga akan dimeriahkan dengan persembahan daripada Method 6 yang pasti akan menghiburkan penonton.

Wartawan Media Permata, hari ini, telah berkunjung ke JIS bagi melihat latihan yang diadakan oleh para penceramah dan mengetahui lebih lanjut mengenai acara berkenaan.

Para Penceramah dan pengurus TEDx bergambar ramai.
Para Penceramah dan pengurus TEDx bergambar ramai.
Siang Jian Law ketika mengadakan latihan bagi acara itu.
Siang Jian Law ketika mengadakan latihan bagi acara itu.

Siang Jin Law, yang merupakan salah seorang penuntut JIS tahun 13, yang juga selaku Ketua Penuntut Perempuan (Head Girl) JIS, ketika ditemui berkata, “Saya akan menyampaikan ceramah mengenai ‘Feminisme dan Teknologi’ dan akan membincangkan adakah orang ramai menggunakan teknologi untuk membentuk feminisme pada masa ini.

“Tujuan saya menyampaikan ceramah ini adalah untuk berkongsi kesedaran mengenai perkara tersebut kerana ia merupakan isu yang besar yang orang ramai bincangkan setiap hari tetapi sebenarnya tidak semua yang memahaminya.”

Pelbagai topik menarik yang lain akan dibincangkan dalam acara tersebut oleh pelbagai penceramah dari berlainan latar belakang.

Tiket-tiket untuk menghadiri acara itu akan mula dijual esok (18 Januari 2016) dan boleh didapati di Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) Cawangan Beribi bermula pada jam 5 petang, Universiti Brunei Darussalam jam 12 tengah hari dan Institut Teknologi Brunei jam 2 petang hingga 5 petang.

Terdapat tiga jenis tiket dijual iaitu Emas ($20), Perak ($15), dan Gangsa ($10), bagaimanapun, harga istimewa akan diberikan kepada pelajar dengan hanya menunjukkan kad pelajar sebagai bukti, dan mereka boleh mendapatkan tiket Perak pada harga $12 dan Gangsa $7.

Tempahan tiket boleh dilakukan dengan menghantar e-mel ke alamat tedxgadong@gmail.com, dan pembayaran boleh dilakukan semasa mengambil tiket berkenaan.

Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh diperolehi daripada laman Facebook (TEDxGadong), Instagram (@tedxgadong) atau melalui e-mel.

ARTIKEL YANG SAMA