Ceramah ‘Ramadan Ku Kini Berbeza’ motivasi untuk belia

Ceramah ‘Ramadan Ku Kini Berbeza’ motivasi untuk belia

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 6 Julai – Sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, ahli-ahli Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan dan Masjid Zainab, Lumut yang merupakan peserta dari Program Minal Masjid Ilal Masjid (MMIM), semalam mengadakan ceramah keagamaan yang berlangsung di masjid tersebut di Kuala Belait.

Sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah dari Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Awang Mohammad Yussof bin Haji Abdul Majid, bertajuk “Ramadan Ku Kini Berbeza” dengan dihadiri para belia program MMIM seramai 80 orang serta Jemaah-jemaah lain yang tinggal di sekitar Kampung Pandan dan Kampung Mumong.

Tajuk ceramah berkenaan menyentuh tentang bulan Ramadan yang merupakan bulan penyucian jiwa iaitu ketika umat Islam mengalihkan sebahagian besar fokus mereka kepada melakukan dan meningkatkan ibadah seperti solat tarawih, zikir, Qiyamulail, bersedekah dan lain-lain lagi selain ibadah puasa.

“Tujuannya adalah semata-mata untuk mengaut keuntungan pahala yang besar berlipat ganda dan mendekatkan lagi diri kepada Allah S.W.T. Tujuan melakukan amalan dan ibadah tersebut adalah juga agar dapat menyucikan jiwa seseorang yang sememangnya untuk melakukan perubahan dan membentuk diri menghala ke arah lebih baik,” tegas penceramah lagi.

Antara yang hadir mendengar ceramah daripada Awang Mohammad Yussof.
Antara yang hadir mendengar ceramah daripada Awang Mohammad Yussof.

Awang Mohammad Yussof telah memetik dan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang lima kegelapan dan lima cahaya yang dapat menerangkan kegelapan, iaitu cintakan dunia itu gelap dan cahayanya adalah takwa, dosa itu gelap dan cahayanya adalah taubat, alam Kubur itu gelap dan cahayanya adalah “Laa ilaaha illallah Muhammadur Rasullullah, Alam Akhirat itu gelap dan cahayanya adalah Amal Soleh dan Jambatan “Sirot” itu gelap dan cahayanya adalah yakin.

Menurut salah seorang penyelia dan peserta MMIM, Awang Ahmad Luqman bin Haji Mohammad, tujuan mengadakan acara seumpama ini adalah untuk memanfaatkan masa di bulan Ramadan dengan menghadiri majlis ilmu dan semoga yang hadir dapat memanfaatkannya dan boleh dipraktikkan sepanjang bulan Ramadan ini.

Dengan meraih sedikit ilmu dan kesedaran daripada penyampaian ceramah, Awang Mohammad Yussof juga berharap agar peserta seterusnya dapat menghayati dan mempraktikkannya, agar dapat menaikkan semangat untuk berbuat lagi amal kebajikan dan seterusnya menjadikan diri pada Ramadan kali ini lebih bermakna.

ARTIKEL YANG SAMA