Cergas atau i...

Cergas atau iman

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Ceramah bertajuk ‘Cergas atau Iman’ (Fit or Faith) telah mengisi Program‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien minggu ini.

Disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Haji Ismail, ceramah menyentuh mengenai kecergasan minda dan tubuh badan serta beriman kepada Allah S.W.T merupakan satu gabungan yang sangat hebat bagi setiap orang Islam terutamanya bagi rakyat dan penduduk  Negara Brunei Darussalam.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud serta datin. Program turut diserikan dengan kehadiran peserta-peserta dari Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ kali ini diisikan dengan ceramah bertajuk ‘Cergas atau Iman’.
Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ kali ini diisikan dengan ceramah bertajuk ‘Cergas atau Iman’.

Program yang dikelolakan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien itu merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah
diaturkan.

Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

ARTIKEL YANG SAMA