Ceria dan meriah

Ceria dan meriah

Laporan Sim Y. H, Yusrin Junaidi, Mohd Asyramisyanie, Imelda Groves & Lenna N.B.

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Suasana di perkarangan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara hari ini begitu ceria dan meriah dengan ribuan rakyat dan penduduk dari segenap lapisan masyarakat berhimpun untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-69.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk sememangnya menjadi sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk di Daerah Brunei dan Muara, untuk sama-sama meraikan majlis yang penuh gilang-gemilang bersama raja tercinta yang berjiwa rakyat.

Wajah-wajah ceria dan senyuman manis jelas terpancar kala hadirin menanti dari awal pagi lagi untuk menatap wajah serta menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan, seorang raja dan pemimpin yang disanjung tinggi serta dikasihi. Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) serta Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Sejurus keberangkatan tiba, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikumandangkan dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, diikuti dengan laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ oleh para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari Daerah Brunei dan Muara.

Baginda Sultan berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara kelmarin.
Baginda Sultan berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara kelmarin.

Acara diteruskan dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Awang Misle bagi mewakili rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara bagi mengalu-alukan keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja.

Awang Misle dalam sembah alu-aluannya menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan untuk terus memperkukuhkan dan meningkatkan tekad bagi terus melipatgandakan usaha, meningkatkan produktiviti serta berdiri teguh mendokong kepimpinan Baginda Sultan memacu pembangunan dan kemajuan negara berpaksikan konsep negara Melayu Islam Beraja.

“Rakyat dan penduduk di Daerah Brunei dan Muara amatlah bersyukur, menjunjung kasih dan menyambut baik akan pembaharuan Skim Baru penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Negara Brunei Darussalam yang telah Kebawah Duli Tuan Patik perkenankan.

“Langkah ini mencerminkan keprihatinan, kepimpinan dan bijaksana Kebawah Duli Tuan Patik dalam mempertingkatkan lagi pengurusan, pentadbiran dan kewibawaan pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dalam menerajui dan sama-sama memikul tanggungjawab, menyatupadukan masyarakat, menjaga kesejahteraan masyarakat di bawah jagaan masing-masing dan mempertingkatkan serta membangunkan sosio-ekonomi di peringkat asas/ akar umbi,” sembah beliau.

Atur cara majlis diserikan dan disemarakkan dengan persembahan khas daripada gabungan penyertaan seramai lebih daripada 500 orang yang terdiri daripada penuntut dari institusi-institusi pendidikan kerajaan dan swasta dari pelbagai peringkat dan institusi pengajian tinggi, pertubuhan beruniform serta para belia yang mana persembahan padang penuh berwarna-warni itu membawa tema “Raja Gemilang Sanjungan Negara”.

Baginda berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi, jawatankuasa-jawatankuasa perayaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, para peserta persembahan padang, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah itu amat dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini malah seluruh rakyat di negara ini amnya untuk mendekatkan diri kepada Baginda serta kerabat diraja untuk berinteraksi serta berbual mesra, yang jelas menunjukkan sikap pemedulian Baginda kepada rakyat serta kasih dan kesetiaan rakyat kepada Baginda.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau yang didahului dengan bacaan doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA