Ceriakan anak yatim menjelang Aidilfitri

Ceriakan anak yatim menjelang Aidilfitri

Oleh Imelda Groves HA, Mohamad Asyramisyanie, Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Pelbagai kementerian dan jabatan di bawahnya serta pihak-pihak yang berkeprihatinan hari ini meneruskan tekad pemedulian mereka untuk anak-anak yatim serta keluarga yang memerlukan bantuan.

Tidak ketinggalan ialah Kementerian Pembangunan yang mengadakan Majlis Nuzul Al-Quran dan Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta jabatan-jabatan di bawahnya yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran dan Latihan, Kementerian Pembangunan di Berakas.

Seramai 174 orang anak yatim diraikan dan menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Behormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Isteri, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

Derma tersebut adalah hasil kutipan derma yang diterima daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya dan Tabung Kutipan Kementerian Pembangunan kepada anak yatim termasuk yang bukan berugama Islam.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan (kanan) dan Isteri (kiri) ketika menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan (kanan) dan Isteri (kiri) ketika menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Agama (tengah) di majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat KHEDN dan jabatan di bawahnya di Masjid Serdang, Kampung Sungai Belukot.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Agama (tengah) di majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat KHEDN dan jabatan di bawahnya di Masjid Serdang, Kampung Sungai Belukot.

Di Masjid Serdang, Kampung Sungai Belukot pula, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman hadir selaku tetamu kehormat di majlis memperingati sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan di bawahnya.

Membuka tirai majlis kelolaan Jabatan Penjara itu adalah solat fardu zohor berjemaah sebelum disampaikan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Awang Muhd Fahmi bin Haji Metussin sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail Haji Murat.

Majlis turut disemarakkan dengan ceramah khas bertajuk “Al-Quran Membentuk Keluarga Sempurna” yang disampaikan oleh Haji Isham bin Ismail daripada Pusat Dakwah Islamiah.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati dan wakaf yang antaranya terdiri daripada mesin hampagas yang diserahkan oleh tetamu kehormat majlis kepada imam masjid berkenaan.

Dalam pada itu, seramai 26 orang anak yatim warga kerja Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan serta ahli keluarga pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan yang ditimpa musibah turut menerima sumbangan bantuan dalam majlis tadarus dan Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Kampung Melabau di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Mohemmad Ali bin Haji Abdul Kahar. Majlis khatam Al-Quran hari ini membabitkan seramai 83 orang pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Bandaran. Ia turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Mohammad Hapizuddin bin Pengiran Haji Bakar. Tajuk ceramah beliau berkisar mengenai “Persediaan Menyambut Kedatangan Syawal Mengikut Nilai-Nilai Islam di Era Moden.”

Pemangku Timbalan Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Mohemmad Ali semasa menyampaikan derma.
Pemangku Timbalan Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Mohemmad Ali semasa menyampaikan derma.
Pemangku Ra’es KUPUSB, Dr. Haji Adanan semasa menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Pemangku Ra’es KUPUSB, Dr. Haji Adanan semasa menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.

Dalam acara berasingan kelmarin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), mengadakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran sempena Bulan Ramadan bagi menandakan berakhirnya tadarus Al-Quran di Kolej berkenaan.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna KUPU SB telah dihadiri oleh Pemangku Ra’es KUPUSB, Ustaz Dr. Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Penolong Ra’es KUPU SB, pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah dan juga mahasiswa mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Majlis ini merupakan projek tahunan yang dikendalikan oleh Unit Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis kemudian diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas yang dibawakan oleh Mahasiswa mahasiswi KUPU SB.

Majlis diserikan dengan penyampaian Barakah Ramadan kepada anak-anak yatim dan warga KUPU SB.

Doa selamat dibacakan oleh Pengiran. Haji Mahmud bin Pengiran. Haji Othman, Imam Surau, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Acara diselajurkan dengan majlis berbuka puasa dan seterusnya mendirikan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA