Ceriakan dua beradik cacat penglihatan

Ceriakan dua beradik cacat penglihatan

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 24 Julai – Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri, mereka yang kurang bernasib baik tetap tidak dilupakan apabila, baru-baru ini, sepasang anak istimewa yang cacat penglihatan menerima sumbangan Hari Raya daripada pihak swasta dan orang perseorangan.

Sumbangan berupa peralatan muzik termasuk paket hijau disampaikan oleh wakil Syarikat Hasrat Teguh, Dayang Chieng Chiew Young, pada majlis yang berlangsung di rumah nenek mereka di Kampung Belais, di sini.

Dayang Siti Nur Liyana, 8, dan abangnya, Awang Ikhwan, 11, yang dilahirkan tanpa mata menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain, dan kedua-duanya bersekolah di Sekolah Rendah Puni, di bawah pengawasan Unit Pendidikan Khas.

Tanpa deria penglihatan, mereka masing-masing memiliki keistimewaan yang tersendiri dan mampu melakukan banyak perkara dengan bergantung kepada deria naluri yang luar biasa.

Usaha berterusan untuk melatih mereka berdikari telah banyak dilakukan atas kerjasama pihak keluarga dan guru-guru yang banyak membantu mereka.

Dayang Chieng Chiew Young menyampaikan piano elektrik kepada Dayang Siti Nur Liyana yang dilahirkan tanpa mata.
Dayang Chieng Chiew Young menyampaikan piano elektrik kepada Dayang Siti Nur Liyana yang dilahirkan tanpa mata.
Awang Ikhwan yang meminati seni muzik gembira menerima hadiah berupa peralatan muzik daripada wakil Syarikat Hasrat Teguh.
Awang Ikhwan yang meminati seni muzik gembira menerima hadiah berupa peralatan muzik daripada wakil Syarikat Hasrat Teguh.

Awang Ikhwan yang sangat meminati seni muzik, menerima sumbangan yang diberikan berupa permainan organ dengan perasaan yang sangat gembira.

Ibu dua beradik itu, Dayang Siti Supriana binti Haji Said, ketika ditemui, berkata beliau mengikuti kursus-kursus pendidikan ‘braille’ yang dianjurkan oleh pihak sekolah demi membantu anak-anaknya berjaya dalam pendidikan.

Beliau turut menyatakan harapan agar ibu bapa lain yang mempunyai anak-anak kurang upaya, agar tidak menyembunyikan kelemahan anak-anak mereka malah sebaliknya, demi membantu mereka menjalani kehidupan ini.

“Saya sangat menyayangi mereka seperti anak saya yang lain kerana anak-anak ini merupakan anugerah daripada Allah yang paling besar dalam hidup saya dan suami walaupun terpaksa menempuhi banyak cabaran dan dugaan dalam hidup,” ujarnya, sambil menambah mereka sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk anak istimewa ini, agar mereka boleh hidup berdikari kelak.

ARTIKEL YANG SAMA