Ceriakan orang kurang berkemampuan

Ceriakan orang kurang berkemampuan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Lebih 100 orang daripada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara diraikan pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Hotel Empire and Country Club, hari ini.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dan Pan Foods Sdn Bhd itu adalah bagi mewujudkan suasana ceria dan berbuka puasa dalam kegembiraan dalam kalangan kelompok masyarakat di bawah pemedulian MKM.

Mereka terdiri daripada warga emas yang kurang berkeupayaan, anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tinggal sebatang kara.

Majlis berbuka puasa itu diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana Ramadan serta meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan sebagai sebahagian daripada keluarga besar MKM.

MKM merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan pada penghujung 2009 dengan objektif utama mereka untuk membantu menangani isu sosial di negara ini dan menyelenggarakan usaha pelbagai organisasi bukan kerajaan yang lain ke arah memperbaiki lagi taraf hidup dan kesejahteraan kumpulan sasaran itu.

Sebahagian daripada keluarga yang kurang berkemampuan diraikan pada majlis berbuka puasa itu.
Sebahagian daripada keluarga yang kurang berkemampuan diraikan pada majlis berbuka puasa itu.

Sementara itu, Pan Foods Sdn Bhd merupakan syarikat yang terletak di Empire Arcade, Tingkat Lima, Hotel Empire and Country Club yang terlibat dalam pemasaran produk istimewa kurma yang mana pada 19 Jun 2015 lalu telah melancarkan penjualan Kurma Al Alwani.

Syarikat itu, pada masa ini, menjual sebanyak 28 jenis kurma keluaran Ajwa Madinah yang terkenal dan sepanjang bulan Ramadan ini sehingga penghujung Ogos depan, Kurma Al Alwani Brunei menawarkan beberapa pakej hamper yang sesuai dijadikan sebagai buah tangan kepada kaum keluarga dan rakan-taulan.

ARTIKEL YANG SAMA