Cetus semangat majukan ekonomi

Cetus semangat majukan ekonomi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Biro Wanita, Majlis Perundingan Mukim Lumapas turut tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Lumapas, hari ini.

Sambutan itu dihadiri oleh Penasihat Majlis Perundingan Mukim Lumapas (MPML), Dato Paduka Haji Jemat bin Ampal bersama ahli-ahli Jawatankuasa MPML yang merangkumi lebih 100 orang.

Pengerusi Biro Wanita MPML, Hajah Hammah binti Puasa dalam ucapannya berkata, majlis sambutan tersebut antara lain bertujuan mengeratkan persefahaman yang dapat mencetuskan semangat dan kerjasama ikhlas dalam menunaikan tanggungjawab sosial sebagai suatu amalan mulia agar sentiasa dekat dengan masyarakat di samping menyumbang sesuatu yang bernilai untuk kemaslahatan semua.

Katanya, tema sambutan iaitu ‘Kekuatan Ekonomi Kejayaan Kita,’ menjadi landasan kepada penduduk di Mukim Lumapas untuk berfikir, bertindak dan merealisasikan agar menjadi kejayaan untuk bertapak dan menyediakan asas kukuh dengan ilmu dan pengalaman bagi mencapai hasrat membantu ekonomi negara.

Dato Paduka Haji Jemat bersama tetamu yang lain semasa menghadiri Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 anjuran Biro Wanita MPML, kelmarin.
Dato Paduka Haji Jemat bersama tetamu yang lain semasa menghadiri Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 anjuran Biro Wanita MPML, kelmarin.
Hajah Hammah ketika menyampaikan ucapannya.
Hajah Hammah ketika menyampaikan ucapannya.

“Insya Allah, Biro Wanita MPML akan sentiasa berusaha mempelbagaikan rancangan khusus untuk kemaslahatan penduduk Mukim Lumapas dengan melaksanakan projek-projek bagi meningkatkan ekonomi melalui beberapa bidang keusahawanan yang boleh membantu masyarakat di mukim ini melaksanakan program yang dirancang melalui ilmu yang bakal diperoleh sama ada melalui kursus atau bengkel,” tambah beliau.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong yang membicarakan tema tersebut dari sudut Islam iaitu sebagai asas dan persediaan bagaimana untuk mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi melalui perniagaan dan sebagainya, termasuk usaha MPML menghasilkan produk dalam menjana ekonomi.

Dalam ceramahnya Hajah Zunainah menjelaskan bahawa pada dasarnya ekonomi Islam tidak semata-mata mengaut keuntungan dan kekayaan tanpa memikirkan halal haramnya yang berbeza dengan sistem ekonomi yang hanya memikirkan keuntungan, namun Islam juga menitik beratkan akhlak seseorang yang terlibat dalam bidang ekonomi dengan perilaku yang mulia.

ARTIKEL YANG SAMA