Chaba landa Korea Selatan, menuju Jepun

Chaba landa Korea Selatan, menuju Jepun

TOKYO, 5 Okt – Amaran ribut taufan dan hujan lebat telah dikeluarkan hari ini ketika taufan kuat Chaba bergerak ke arah Jepun, selepas melanda pantai selatan Korea Selatan dengan angin yang mengakibatkan banjir kilat dan mencatatkan kira-kira dua kematian.

Angin kuat itu bergerak di perairan utara-timur laut, luar pulau kecil Tsushima berhampiran selatan Kyushu, Jepun, dengan membawa angin sehingga 180 kilometer sejam, menurut agensi cuaca Jepun.

Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran angin kencang, hujan lebat, ombak besar lautan dan banjir, yang meliputi kawasan besar barat Jepun.

Ribut taufan dijangka melanda pulau utama Jepun, Honshu petang ini sebelum bergerak keluar ke Pasifik esok, lapor agensi itu. Kesemua 108 penerbangan domestik, penerbangan Nippon Airways dan Japan Airlines telah dibatalkan, manakala agensi berita Kyodo berkata beberapa sistem penerbangan kecil juga membatalkan penerbangan.

Taufan telah melanda hujung selatan Korea Selatan awal hari ini, yang membawa turunan hujan lebat yang mengakibatkan air sungai melimpah keluar dari tebingnya, membanjiri jalan raya bandar dan memaksa pembatalan penerbangan. Kementerian Keselamatan Awam Korea berkata 2,500 buah sekolah ditutup manakala berpuluh-puluh ribu rumah mengalami terputus bekalan api elektrik.

Pengawal pantai Korea Selatan cuba menyelamatkan anak kapal daripada sebuah kapal penumpang yang terkandas selepas kejadian taufan Chaba melanda selatan bandar Yeosu kelmarin. - AFP
Pengawal pantai Korea Selatan cuba menyelamatkan anak kapal daripada sebuah kapal penumpang yang terkandas selepas kejadian taufan Chaba melanda selatan bandar Yeosu kelmarin. – AFP

Berbelas-belas penerbangan yang masuk dan keluar di pulau peranginan, Jeju – destinasi popular bagi pelancong China – telah dibatalkan apabila Chaba melanda pulau itu dengan angin kencang sehingga 200 kilometer sejam.

Rakaman video dramatik yang disiarkan oleh saluran berita YTN menunjukkan enam kru dari sebuah feri yang berlabuh dihanyutkan dari jeti dan terhumban ke dalam laut oleh ombak besar di pelabuhan selatan Yeosu.

Kesemua mereka kemudian berjaya diselamatkan.

CCTV dan rakaman video di Ulsan menunjukkan kereta dihanyutkan banjir di jalan raya dan bumbung sebuah rumah kayu patah selepas tergelincir dan dibawa oleh banjir yang melimpah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA