Chaba ragut enam jiwa di Korea Selatan

Chaba ragut enam jiwa di Korea Selatan

SEOUL, 6 Okt – Taufan Chaba membadai pantai selatan Korea Selatan dengan angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat dan mengorbankan enam orang dan empat lagi hilang.

Ribut ganas berkenaan melepasi selatan semenanjung Korea pada Rabu, melanda pelabuhan Busan, bandar raya kedua terbesar negara itu, dan bandar raya perindustrian Ulsan.

Di Ulsan, seorang lelaki lemas berhampiran pangsapurinya dan seorang wanita ditemui mati di tempat letak kenderaan bawah tanah yang dinaiki air.

Lebih 230,000 buah rumah seluruh kawasan pesisir pantai mengalami gangguan elektrik, tetapi Korea Electric Power Corp, berkata bekalan dipulihkan menjelang pagi tadi.

Di Ulsan, lokasi kemudahan pengeluaran utama Hyundai Motor, dua loji pembuatan kereta terpaksa ditutup apabila taufan berkenaan melanda dan satu kekal tidak beroperasi hari ini disebabkan kerosakan akibat banjir.

Anggota penyelamat membawa seorang penduduk melalui jalan yang ditenggelami air yang disebabkan oleh Taufan Chaba di Ulsan, Korea Selatan, Rabu lalu. – AP
Anggota penyelamat membawa seorang penduduk melalui jalan yang ditenggelami air yang disebabkan oleh Taufan Chaba di Ulsan, Korea Selatan, Rabu lalu. – AP

Video daripada kamera pemantauan awam menunjukkan kereta, peti sejuk dan serpihan lain terapung di jalan raya yang dinaiki air dan penduduk meredah air berlumpur separas dada.

Satu lagi rakaman dalam media sosial menunjukkan ombak besar memecahkan kaca tingkap sebuah kedai dan menerbangkan bumbung rumah kayu ke arah sungai yang melimpah dan hanyut di bawah jambatan rendah.

Ribut tersebut turut mengganggu persediaan penganjuran pameran filem terbesar Asia, Pesta Filem Antarabangsa Busan, yang dijadualkan dibuka petang ini.

Acara Festival yang dirancang diadakan di pantai utama Busan, Haeundae terpaksa dibatalkan atau dipindahkan ke ruangan dalam bangunan selepas angin kencang meniup atau merosakkan tempat sementara yang didirikan di atas pasir.

Taufan itu telah mencetuskan amaran ribut teruk di Jepun, tetapi telah diturunkan kepada ribut tropika di Laut Jepun (Laut Timur) sebelum ia melanda pulau Honshu pada petang kelmarin. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA