Chad haramkan penggunaan burka

Chad haramkan penggunaan burka

N’DJAMENA, 18 Jun (AFP) – Chad semalam mengharamkan penggunaan burka bagi penganut Islam serta mengarahkan pasukan keselamatan merampas serta membakar burka yang ada di pasaran selepas 33 orang terbunuh dalam serangan bom berkembar yang dipersalahkan ke atas pemberontak Nigeria, Boko Haram, minggu ini.

“Memakai burka perlu dihentikan segera mulai hari ini, bukan sahaja di tempat awam dan sekolah-sekolah tetapi di seluruh negara,” menurut Perdana Menteri Kalzeube Pahimi Deubet dalam ucapannya kepada para pemimpin agama sebelum bermulanya bulan Ramadan.

Sebarang bentuk pakaian yang hanya menampakkan dua biji mata adalah satu bentuk “penyamaran” dan mulai sekarang diharamkan, tambahnya, sambil meminta para pemimpin agama supaya menyebarkan mesej itu di masjid-masjid, gereja dan tempat suci lain.

Perdana Menteri Deubet berkata arahan itu sudah diberikan kepada pasukan keselamatan supaya “pergi ke pasar-pasar dan merampas serta membakar semua burka.”

Sesiapa yang didapati memakai burka akan “diberkas, dibicarakan dan dijatuhi hukuman,” tambahnya.

Sebahagian wanita warga Chad yang menggunakan burka dirakam gambar mereka ketika menghadiri satu majlis anjuran pihak berkuasa setempat. – AFP
Sebahagian wanita warga Chad yang menggunakan burka dirakam gambar mereka ketika menghadiri satu majlis anjuran pihak berkuasa setempat. – AFP

Insiden pengeboman pada Isnin lepas, serangan pertama seumpamanya di ibu negara Chad yang majoriti penduduknya beragama Islam, dipersalahkan ke atas Boko Haram yang sebelumnya melakukan serangan ke atas kampung-kampung di sepanjang sempadan dengan Nigeria.

Kumpulan militan Islam itu menggunakan pengebom bunuh diri wanita untuk melancarkan serangan pada masa lalu dengan menyembunyikan bahan letupan di dalam pakaian mereka.

Kerajaan Chad pada Selasa lepas mengisytiharkan perkabungan selama tiga hari bagi penghormatan ke atas 33 orang yang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera dalam letupan bom berkenaan.