Champagne kritik kendalian rasuah UEFA

Champagne kritik kendalian rasuah UEFA

GENEVA, 28 Jan – Calon kerusi Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jerome Champagne mengkritik Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam menangani tuduhan rasuah, yang juga pesaingnya untuk memimpin badan dunia itu.

Champagne bagaimanapun tidak menamakan Gianni Infantino secara langsung dalam kenyataan ketika sidang media Parlimen Eropah awal pagi tadi tetapi dia mengakui hanya memberi contoh yang berlaku ketika pesaingnya itu memegang jawatan setiausaha UEFA.

“Adakah sebarang penyiasatan mengenai undian pada 2007 bagi Euro 2012? Tidak,” kata Champagne sambil mendakwa UEFA tidak mempunyai jawatankuasa etika yang bebas dalam menguruskan kes mereka sendiri.

“Lihat kepada kontroversi berhubung kes mengatur perlawanan yang berlaku di Greece dan Turki. Jadi kita perlu buka siasatannya,” kata bekas pengarah perhubungan antarabangsa FIFA itu.

Champagne adalah satu-satunya daripada lima calon FIFA yang menerima jemputan daripada penggubal undang-undang dan mereka yang terbabit dalam kempen reformasi FIFA dalam majlis berlangsung di Brussels.

Jerome Champagne yang merupakan salah seorang calon bagi menjawat jawatan Presiden FIFA bulan depan. – Reuters
Jerome Champagne yang merupakan salah seorang calon bagi menjawat jawatan Presiden FIFA bulan depan. – Reuters

Infantino bertemu dengan pengundi di Amerika Selatan dan Amerika Tengah menjelang undian pada 26 Februari ini di Zurich dan menghantar mesej video mengenai kempennya.– Agensi

ARTIKEL YANG SAMA