Changi kendali 4.7 juta penumpang pada Jun

Changi kendali 4.7 juta penumpang pada Jun

SINGAPURA, 28 Julai (Bernama) – Pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Changi di sini meningkat satu peratus pada Jun 2015, dengan 4.70 juta penumpang menggunakan kemudahan itu.

Dalam Petunjuk Operasi bagi Jun 2015 yang dikeluarkan pada Selasa, Changi Airport Group berkata bulan berkenaan adalah tempoh paling sibuk setakat ini bagi lapangan terbang tersebut.

Dari segi pergerakan pesawat, sebanyak 28,530 pelepasan dan ketibaan pesawat direkodkan sepanjang Jun, pertumbuhan 1.4 peratus tahun ke tahun. Bagi enam bulan pertama 2015, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 26.6 juta penumpang, meningkat 0.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2014. Pergerakan pesawat berjumlah 169,890, turun satu peratus berbanding tahun lepas.

Trafik Thailand terus menunjukkan petanda pemulihan yang positif, dengan pergerakan penumpang ke dan dari Bangkok mencatatkan lonjakan pertumbuhan iaitu 30 peratus pada separuh pertama 2015.

Lapangan terbang Changi kini mencatat lebih ramai penumpang. – Reuters
Lapangan terbang Changi kini mencatat lebih ramai penumpang. – Reuters

Bangkok memintas Jakarta untuk berada di kedudukan teratas dalam senarai laluan paling sibuk Lapangan Terbang Changi bagi tempoh enam bulan. Ia disusuli dengan Kuala Lumpur, Hong Kong dan Manila yang melengkapkan senarai lima laluan paling sibuk teratas.

Bagi kargo pula, walaupun penghantaran kargo udara susut 2.2 peratus kepada 151,300 tan pada Jun, namun jumlah keseluruhan kargo untuk setengah tahun ini meningkat 0.2 peratus kepada 912,300 tan.