Changi, lapangan terbang terbaik dunia 4 tahun berturut-turut

Changi, lapangan terbang terbaik dunia 4 tahun berturut-turut

SINGAPURA, 17 Mac (BHS) – Lapangan Terbang Changi dimahkotakan sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Dunia – sebanyak empat kali berturut-turut – dalam satu tinjauan tahunan melibatkan penumpang udara.

Ia mengalahkan Lapangan Terbang Incheon Korea Selatan dan Lapangan Terbang Munich di Jerman, yang berada di tempat kedua dan ketiga dalam senarai 10 lapangan terbang terbaik Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax di Jerman tahun ini.

Lebih 13.25 juta pelancong mengambil bahagian dalam kajian Skytrax, yang diiktiraf sebagai tinjauan terbesar dalam industri itu.

Pelancong mencalonkan lapangan terbang kegemaran mereka dari segi kemudahan pemindahan, membeli-belah, imigresen dan kemudahan penumpang, antara lain.

Ini kali ketujuh dalam 16 tahun Changi menduduki tempat teratas. Ia juga meraih anugerah lapangan terbang terbaik bagi kemudahan rekreasi.

Ketua Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted, yang berpangkalan di London, berkata kemenangan Changi bukti jelas popularitinya dalam kalangan pelancong udara.

Beliau berkata “kemudahan riadah dan hiburan ciri unik Lapangan Terbang Changi, dan menggariskan dedikasinya untuk benar-benar memuaskan hati pelanggan”.

Ketua Eksekutif Changi Airport Group (CAG), Lee Seow Hiang, berkata: “Kami tidak mengambil mudah pengiktirafan… Usaha dan komitmen keseluruhan masyarakat lapangan terbang yang mendorong kejayaan Changi.”

ARTIKEL YANG SAMA